MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM LAHIRKAN RASA SEDIH DAN SIMPATI DI ATAS PENUTUPAN OPERASI SYARIKAT UTUSAN

Majlis Belia Malaysia (MBM) terpanggil untuk melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap penutupan operasi Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Penutupan ini susulan jualan ekuiti Syarikat Utusan membabitkan keluaran terbitannya seperti Utusan Malaysia, Utusan Mingguan dan Kosmo! malah turut menjejaskan kira-kira 800 pekerja syarikat tersebut.

Sebagai sebuah syarikat penerbitan tertua negara berusia 80 tahun sejak ditubuhkan 1939 di Singapura, Utusan adalah institusi penting yang banyak berjasa dan memberi sumbangan terhadap masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu.

Malah ia telah menjadi suara dan nadi kepada perjuangan kemerdekaan, pengisian kemerdekaan dan pemodenan Malaysia. Utusan juga adalah pencetus pelbagai wacana nasional demi kelangsungan Malaysia.

MBM beranggapan situasi yang berlaku hari ini adalah saat yang sangat mendukacitakan kepada bangsa dan negara.

MBM merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Utusan di atas segala kerjasama dan bantuan selama ini sama ada dalam bentuk hebahan dan promosi program-program belia. 

MBM juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua warga Utusan, terima kasih yang tidak terhingga di atas sumbangan luar biasa anda terhadap akhbar keramat ini.

MBM mendoakan agar semua yang terlibat dalam musibah ini dipermudahkan dan semoga Utusan dapat dijelmakan semula sebagai wadah nurani bangsa.

MBM menyeru rakyat Malaysia untuk memberi sokongan padu kepada semua pihak terlibat atas nama persaudaraan dan kemanusian.

Semoga doa dan ikhtiar kita yang berterusan dan ikhlas menatijahkan yang terbaik.

WAN MOHD HUSNI ABDULLAH     

KETUA PENERANGAN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 11 Oktober 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »