MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM kutuk serangan ke atas rumah ibadat

KENYATAAN AKHBAR
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

Majlis Belia Malaysia (MBM) memandang berat insiden serangan ke atas rumah ibadat yang kini berlarutan di Negara ini. Insiden meletakkan kepala babi di beberapa buah masjid sekitar Lembah Kelang semalam amat merungsingkan MBM. Kini timbul persoalan kemana hilangnya semangat toleransi dan perpaduan yang selama ini kita pertahankan.

MBM mengutuk sebarang bentuk provokasi bagi mencetuskan sengketa atas dasar agama ataupun kaum dan ianya perlu dihentikan segera. Keadaaan ini tidak menguntungkan mana-mana pihak bahkan merumitkan lagi keadaan dan polimek dalam masyarakat. Hal ini membantutkan lagi usaha kerajaan membawa keluar rakyat dan Negara dalam mengharungi pelbagai cabaran yang melanda Negara dalam asepek ekonomi dan social.

MBM menyeru kepada semua belia di Negara ini supaya tidak menjadi alat kepada mana-mana pihak dalam melakukan tindakan sedemikian rupa ataupun perkara yang seumpamanya. Marilah kita para belia meletakkan akal rasional melebihi sentimen dalam melakukan tindakan kerana kita belia yang sayangkan keamanan dan perpaduan di Negara ini. Tindakan menggunakan belia bagi melakukan kegiatan berkenaan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Akhirnya MBM juga menyeru agar semua pihak bertenang dan tidak mencetuskan serta menghangatkan lagi keadaan. MBM percaya dengan kewibawaan pasukan keselamatan yang sebelum ini telah terbukti dapat menyelesaikan beberapa kes yang berlaku. MBM juga mahu tindakan lebih tegas lagi ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

MBM berkeyakinan rakyat Malaysia keseluruhannya menolak sebarang tindakan yang membawa kepada kehancuran dan hilangnya perpaduan di Negara ini.

MOHAMED MALIKI B MOHAMED RAPIEE
PRESIDEN

Bertarikh: 28 Januari 2010

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »