KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) komited berperanan lebih penting dan berkesan bagi membantu rakyat berdepan wabak COVID-19.
Presidennya, Jufitri Joha, berkata MBM juga mahu badan gabungannya yang mewakili pelbagai kaum dan agama berkhidmat secara lebih agresif dan dedikasi dalam menyerlahkan bakat belia, selain menjadi pemudah cara ke arah membina keperibadian umat bertaqwa.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, atas pengumuman bantuan RM2 juta untuk gerakan belia di bawah naungan MBM pada 4 Februari lalu.
“Walaupun ia adalah berita gembira buat pimpinan gerakan belia seluruh negara, MBM menerimanya dengan penuh keinsafan kerana ia melambangkan harapan besar rakyat untuk melihat gerakan belia berperanan secara berkesan.
“Justeru, MBM beriltizam untuk berfungsi dengan penuh kebertanggungjawaban sebagaimana yang dinasihatkan menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada sesi dialog dengan Ahli Dewan Tertinggi MBM itu, Reezal Merican mengumumkan pemberian dana bantuan pentadbiran kepada MBM dan Badan Induk Gabungan Kebangsaan masing-masing sebanyak RM1 juta.
Jufitri berkata, MBM akan menyahut saranan Reezal Merican supaya satu model baharu pembangunan belia dan gerakan berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB), Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) dan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035 digubal.
Katanya, ia selari dengan aspirasi, semangat zaman dan citra belia semasa atau yang dipanggil generasi ‘pandemial’.
Justeru, katanya, satu jawatankuasa kerja khas akan dibentuk bagi merealisasikan agenda berkenaan.
“MBM mengucapkan terima kasih kepada Menteri dan barisan kepemimpinan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan serta Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang komited sebagai rakan strategik MBM demi membangunkan belia dan negara.
“Ini masanya untuk kita memacu semula belia dan negara ke pentas dunia,” katanya.
Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/783703/mbm-komited-bantu-rakyat-harungi-pandemik?fbclid=IwAR0HvdU0KS-lcEZQu4a3KVla-28IMwACjtdksTftinxQ7z5fjyjTGrY8Mj0