MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM khuatir LPF dihapuskan

maliki_kot

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini melahirkan kekhuatiran terhadap langkah kerajaan membenarkan penggiat filem menapis sendiri filem mereka dan bukan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) mulai tahun depan akan membawa mudarat kepada golongan belia.

Presiden MBM, berkata, ini kerana penggiat filem dilihat cenderung menggunakan elemen tarikan negatif bagi melariskan filem mereka dan penapisan oleh penggiat filem juga dikhuatiri tidak mempunyai keberkesanan yang tinggi bagi memastikan elemen itu tidak mempengaruhi belia di negara ini.

“Belia sekarang sudah dilimpahi elemen negatif daripada media baru di internet yang sukar kita selesaikan, sekarang kita hendak tambah elemen negative daripada filem.

“Tindakan ini (penapisan oleh penggiat filem) mengancam kita daripada segala segi. Kita perlukan badan yang ‘credible’ seperti LPF untuk pastikan filem disiarkan sesuai untuk kita,” katanya.

Rabu lepas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam mengumumkan berkuatkuasa tahun depan semua penggiat filem di negara ini dibenar melakukan pengawal seliaan dan penapisan sendiri terhadap filem atau drama dihasilkan.

Semalam Setiausaha Agung Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Norman Abdul Halim berkata PFM mampu menjadi badan yang menentukan rating kesesuaian tontonan sesebuah filem berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki persatuan itu.

Mohamed Maliki berkata selain bebas elemen negatif, filem yang disiarkan juga perlu sesuai dengan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi memupuk semangat 1Malaysia di kalangan belia.

“Proses penyesuaian perlu dilakukan kepada sesebuah filem bagi memastikan filem itu sesuai untuk memajukan minda belia kita dan supaya filem itu tidak menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.

Ditanya adakah penapisan oleh penggiat filem itu dapat memberi kebebasan kepada pengembangan pemikiran masyarakat terutamanya golongan belia, beliau berkata pendapat itu merupakan pendapat dangkal sesetengah pihak.

“Elemen negatif tidak mungkin dapat mengembangkan pemikiran belia, kita harap pihak yang berkaitan jangan lepaskan tanggungjawab mereka. Lakukan yang terbaik demi generasi akan datang,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »