Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin menunjukkan rasa kesal dan dukacita atas tindakan Kerajaan melalui kenyataan YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pada 26 Julai 2021 yang dibuat di Parlimen yang mana telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong sebelum dibahaskan oleh Parlimen dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda.
Lebih mendukacitakan apabila ia telah jelas membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang temaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, MBM menuntut agar:
1.) Cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di dalam Parlimen sebagaimana yang dipersetujui dan dititahkan oleh Seri Paduka Baginda di mana kuasa penggubalan, pembatalan dan perkenan Ordinan-Ordinan Darurat terletak kepada kuasa Baginda;
2.) YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri membuat permohonan maaf di dalam Dewan kerana telah melanggar Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 36/12 (kenyataan mengelirukan Dewan) sebagaimana yang telah dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada hari ini;
3.) Ahli-Ahli Parlimen memandang serius penegasan yang dibuat Seri Paduka Baginda agar memberikan tumpuan dan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat dan negara bagi mencari jalan keluar tuntas dalam sesi sidang Parlimen kali ini;
4.) Parlimen mula membentang dan membahaskan sidang Parlimen secara gabungan atau hybrid antara fizikal dan maya bagi membolehkan ahli Parlimen bersidang secara hybrid pada masa hadapan sekaligus membolehkan mereka terus bersidang dan berbahas isu-isu rakyat secara selamat dan berterusan tanpa sebarang halangan;
5.) Pihak Kerajaan, pembangkang, pemimpin negara, belia dan rakyat agar terus menjunjung prinsip Rukunegara sebagai asas kestabilan, perpaduan dan kemakmuran Negara. Pemimpin negara wajar menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada generasi muda dalam merakyatkan Rukunegara.
MBM sebagai gerakan belia yang secara kolektifnya non-partisan akan terus konsisten mendokong dan menjunjung peranan yang amat penting Yang di-Pertuan Agong dan fungsi Institusi Diraja sebagai kuasa semak dan imbang serta pancuran keadilan rakyat dalam sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 29 Julai 2021