Catatan oleh:
Sdr. Mohd Faiz Shuhaimi
Exco Majlis Belia Malaysia &
Ketua Relawan Majlis Belia Malaysia
Mengikut Akta 685, Akta Orang Kurang Upaya 2008. Orang Kurang Upaya (OKU) ditafsirkan sebagai orang kurang upaya” termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.
Umumnya, OKU berhak menikmati kehidupan yang sama seperti orang upaya atas upaya atas dasar hak atau kesaksamaan sepertimana yang terkandung dalam Konvensyen Hak untuk OKU (CRPD) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang dikuatkuasakan pada 3 Mei 2008.
Perkara ini jelas dinyatakan dan diterangkan pada bahagian mukadimah dalam konvensyen ini. Prinsip ini juga turut jelas dinyatakan dalam Akta OKU 2008 yang mana OKU perlu mendapat perkara yang sama atas kesetaraan dengan orang upaya pada pelbagai aspek kehidupan meliputi pendidikan, kesihatan, pekerjaan, sukan, kebudayaan dan pengangkutan.
Daripada laporan berkaitan isu ketidakupayaan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia (World Bank) pada Julai 2011 menganggarkan sebanyak 15% penduduk dunia adalah terdiri daripada OKU atau individu yang menghadapi isu ketidakupayaan.
Jumlah ini masih jauh jika hendak dibandingkan dengan jumlah OKU yang berdaftar di Malaysia. Statistik yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) menyatakan seramai 555,996 OKU telah berdaftar dengan jabatan ini sehingga April 2020. Meskipun jumlah ini mungkin kelihatan kecil, tetapi jumlah ini masih signifikan untuk dipertimbangkan bagi mengadakan perancangan dan pembangunan secara terancang bagi golongan ini. Justeru itu, perancangan pembangunan modal insan dan pembangunan potensi OKU terutamanya dikalangan Belia OKU merupakan antara intipati kearah melahirkan Belia OKU yang kompetan dan mampu bertindak sebagai suatu kumpulan pendesak dalam memberikan maklum balas konstrustif kearah pembangunan negara.
Mengikut Dasar Belia Malaysia, kelompok belia minoriti dan belia terpinggir seperti Belia Orang Kurang Upaya (OKU), Belia Orang Asli dan kaum minoriti merupakan salah satu daripada 8 kumpulan sasaran belia. Sehubungan itu, usaha dan inisiatif Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk mengangkat isu komuniti Belia Orang Kurang Upaya (OKU) adalah suatu gagasan besar yang mencermin keterangkuman MBM dalam menyantuni dan memperkasakan tiap kelompok belia negara. Penubuhan Jawatankuasa Penaja Majlis Belia OKU Malaysia dan meletakkan wakil Belia OKU didalam kepimpinan kini MBM merupakan usaha dan inisiatif MBM untuk mengarusperdanakan kepimpinan anak muda OKU secara tersusun dan berterusan.
Hal ini seiring dengan usaha untuk memperkasakan golongan Belia dinyatakan secara jelas dibawah matlamat kedua Dasar Belia Malaysia (DBM) iaitu “Menyerlahkan potensi setiap individu belia dengan meraikan kepelbagaian dan kelainan masing-masing”. Pembangunan potensi dan latihan kepimpinan berterusan kepada Belia OKU melalui pergerakan Majlis Belia Malaysia menyediakan suatu wadah tarbiyah dah platform supaya Belia OKU boleh mengangkat terus permasalahan dan memperjuangkan hak OKU secara berterusan dengan dokongan daripada pelbagai agensi berkaitan termasuk MBM.
Selaras dengan Teras Strategi ke-5 Pelan Tindakan OKU 2016-2022 menekankan pengukuhan perkhidmatan Sosial untuk OKU. Teras ke-5 bermatlamat kearah melahirkan komuniti OKU yang berbakat dan berpotensi tinggi dalam bidang sosial, kepimpinan dan sebagainya.
Sehubungan itu, pemerkasaan Belia OKU merupakan suatu agenda bersama yang memerlukan usahan rentas kementerian dan silang organisasi. Kesepaduan dan jalinan kerjasama ini membolehkan pelagai inisiatif yang dilaksanakan oleh agensi berwajib turut memberikan impak positif kearah pembangunan positif belia, terutamanya buat Belia OKU.
Inisiatif seperti penubuhan Jawatankuasa Penaja Majlis Belia OKU, Program Kem kepimpinan Belia OKU dan perlaksanaan program anjuran MBM supaya lebih inklusif dan mesra OKU seperti menetapkan penyertaan Belia OKU dalam tiap program anjuran MBM mencerminkan inisiatif berterusan supaya isu komuniti Belia OKU terus diangkat dan diperkasakan.
Sehubungan itu, saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Saudara Jufitri Joha, selaku Presiden MBM dan seluruh kepimpinan MBM yang menyokong penuh pembangunan Belia OKU di Malaysia dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyediakan persekitaran yang menyokong kearah pembangunan positif belia OKU melalui platform Majlis Belia Malaysia.
Tuntasnya, saya membicarakan soal Belia OKU adalah kerana mereka adalah penyambung kepada wadah peradaban dan pembangunan negara. Membangunkan potensi tiap kelompok belia termasuk belia OKU mampu memberikan impak positif dalam komuniti Orang Kurang Upaya itu sendiri.
Dalam mengejar agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB), saya yakin bahawa setiap komponen belia termasuk Belia OKU punya peri pentingnya dalam pembangunan negara. Justeru, seharusnya tiada yang terpinggir mahupun terkecuali. Sekali lagi, terima kasih diucapkan pada kesemua pimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang terus komited membangunkan agenda pembangunan positif belia termasuk kepada Belia OKU.
Saya yakin usaha dan iltizam ini adalah kearah pembangunan inklusif dan berterusan buat semua kelompok belia bukan sahaja buat dekad ini, malahan ke dekad-dekat seterusnya.
Menggerak Belia OKU Malaysia!
Bertarikh : 18 Ogos 2020