KUALA LUMPUR 17 Ogos – Majlis Belia Malaysia (MBM) dan International Cultural Communication Center Malaysia (ICCCM) (Pusat Komunikasi Budaya Antarabangsa Malaysia) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kerjasama dalam bidang kerjasama pendidikan.
MBM diwakili oleh Presidennya, Mohd Izzat Afifi Hj Abd Hamid manakala ICCCM diwakili Cik Loo Hui Ann, Pengarah Urusannya. Majlis ini berlangsung di Wisma MBM Cheras Kuala Lumpur.
MoU bertujuan membangunkan kerjasama dalam bidang akademik dan pendidikan atas dasar kesaksamaan. Ianya juga adalah usaha bagi menggalakkan hubungan dan persefahaman antara kedua-dua pihak.
Presiden MBM berharap kerjasama ini bakal memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak selain menawarkan manfaat utama kepada generasi muda khususnya golongan pelajar.
MBM sebagai badan induk belia di negara ini mengambil berat dan cakna terutamanya soal kepentingan pendidikan dalam kalangan generasi muda. MBM sendiri mempunyai badan gabungan khusus dalam kategori ‘pendidikan’ iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
“Menerusi persefahaman ini juga, MBM dan ICCCM akan bekerjasama dalam pelbagai aktiviti pendidikan tinggi mencakupi program pertukaran pelajar di peringkat sarjana muda atau pasca siswazah, pertukaran maklumat, program pendidikan, latihan, inovasi, penyelidikan serta kerjasama antarabangsa.
Hadir sama menyaksikan majlis MoU ini Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun; Exco MBM Ahmad Farhan Rosli; Mohd Faiz Suhaimi; Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhd Fazreen Ismadi dan Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Danesh A/L Basil.