MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM Hulur Bantuan Kepada Pesakit Jantung

…..senyum ku tak seghairah, gerak gaya tidak selincah, mataku tak seayu, kicau burung pun tak semerdu. Namun ku punya hati, juga gayaku perasaan, hidupku yang begini, kadar waktu diizin Tuhan…

“Saya tidak dapat gambarkan bagaimana rasa bersyukurnya saya kepada Allah SWT apabila diberitahu oleh Saudara Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Majlis Belia Malaysia bahawa usaha untuk membawa anak saya ke India bagi menjalani pembedahan jantung berlubang telah berjaya dicepatkan. Hingga ke hari ini, saya masih berdebar dan berasa seperti mimpi”, ujar Mohd Sani Amir, 36 bapa kepada Adik Mohd Shah Haikal Mohd Sani yang berusia 2 tahun yang disahkan mengalami masalah sakit jantung berlubang dan komplikasi injap.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sekali lagi tampil ke hadapan dalam membantu satu lagi kes belia yang memerlukan bantuan perubatan. Rentetan dari kejayaan membela nasib Muhammad Hairuman Miskon, mangsa renjatan kabel elektrik voltan tinggi di Tanjung Karang pada Januari yang lalu, MBM semakin terpanggil untuk membantu kes-kes yang memerlukan bantuan segera khususnya dalam soal perubatan.

Terbaru adalah kes Adik Mohd Shah Haikal Mohd Sani yang menderita sakit jantung berlubang dan komplikasi injap sejak berusia 5 bulan. Berasal dari Kampung Baru Mukim 7, Parit Yaani, Batu Pahat , anak kecil ini adalah hasil perkongsian hidup antara Mohd Sani Amir dan Sanora Antong Ahmad. Dia juga merupakan anak bongsu dari tiga orang adik-beradik.

Keluarga bahagia ini bukanlah berasal dari golongan sederhana ke atas sebaliknya dari kelompok masyarakat yang memerlukan bantuan bagi meneruskan kesinambungan hidup. Sebagai seorang bapa, Mohd Sani Amir terpaksa bekerja keras siang dan malam sebagai pemandu lori kelapa sawit di kampungnya. Manakala isterinya terpaksa menjaga anak kecil malang itu di rumah kerana menurut doktor, si kecil itu memerlukan penjagaan rapi sepanjang 24 jam.

Menurut Saudara Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, MBM terpanggil untuk membela nasib anak kecil setelah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Manakala segala urusan dokumentasi, perubatan dan persiapan tempat diaturkan oleh MediAssist4U yang berpusat di Ampang. MediAssist4U merupakan sebuah badan NGO telah ditubuhkan pada 2006 bertujuan bagi membantu pesakit-pesakit terutamanya yang menghadapi masalah kewangan dengan menyediakan pusat pemeriksaan yang lengkap serta doktor pakar yang terbaik dan staf-staf yang terlatih dan berpengalaman. MediAssist4U juga merupakan NGO yang berkerja rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan menjadi rakan kongsi pintar hospital Narayana Hrudayalaya Institute, yang terletak Banglore, India. Pada tahun 2008, ProgramPediatric Cardiothoracic telah diperkenalkan dan semenjak itu, MediAssist4U telah berjaya menghantar sekurang-kurangnya satu kumpulan yang mengandungi 3 hingga 6 orang pesakit setiap bulan ke Banglore untuk mendapatkan rawatan.

Pembedahan ini akan dilakukan di Narayana Hrudayalaya Institute dan Adik Mohd Shah Haikal akan berangkat ke India pada Jumaat, 12 Ogos 2011. Anak kecil yang tidak tahu apa-apa ini akan ditemani oleh ibu kandung tersayang dan akan diiringi dua orang sukarelawan MBM iaitu Saudari Siti Nurnabilah Binti Md Khanafi dan Saudari Koh Kar Ling. Sukarelawan ini akan bersama menemani Adik Mohd Shah Haikal  dan ibunya serta bersedia memberi sebarang bantuan sekiranya perlu bagi memastikan kebajikan dan keselesaan keluarga ini terjaga sepanjang berada di hospital.

Turut sama berangkat ialah seorang Ahli Jawatankuasa MBM, Saudara Khairul Annuar Mansur yang berperanan memastikan segala kemudahan dan persiapan di negara itu dalam keadaan baik bagi memberi keselesaan dan bantuan kepada kedua anak beranak ini.

Sehubungan itu, Saudara Mohamed Maliki Mohamed Rapiee selaku Presiden MBM menyeru kepada semua sahabat-sahabat belia di Malaysia agar sama-sama mendoakan keselamatan anak kecil itu dengan harapan pembedahan berjalan dengan lancar dan selamat.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »