KUALA LUMPUR 18 Nov – Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa tindakan tegas kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung penjualan produk tembakau dan permainan seks (sex toys) yang dijual secara terbuka dan berleluasa di pasaran dalam talian pada masa ini.
Isu ini dibangkitkan oleh Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha menerusi sidang media yang berlangsung di Wisma MBM di sini.
MBM bimbang sekiranya isu ini jika tidak ditangani segera boleh mengundang musibah besar kepada pembangunan modal insan negara memandangkan sesiapa sahaja yang memiliki telefon pintar sudah pasti boleh mengakses promosi jualan hasil tembakau dan aksesori seks ini termasuklah kanak-kanak bawah umur.
Selain itu, MBM meminta syarikat jualan gergasi dalam talian memainkan peranan tanggungjawab sosial dan moral kepada rakyat Malaysia memandangkan transaksi dalam talian meningkat saban hari. Hadir sama Setiausaha Agung MBM Sdr. Hasnul Haniff Harun, Exco MBM merangkap Timbalan Pengerusi Biro Perpaduan dan Kepenggunaan MBM, Sdr. Ahmad Shah Mohamad Salleh dan Timbalan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Sdr. Fahami Asyrof Badaruddin.