MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM Gesa SOP untuk Vaksin Secara Walk In di PPV Diperketatkan

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil serius kesesakan luar biasa yang berlaku baru-baru ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang disebabkan tawaran mendapatkan vaksin secara walk in.

MBM amat menghargai hasrat dan usaha gigih Kerajaan bagi mempercepatkan usaha pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia khususnya di Lembah Klang untuk segera mencapai imuniti kelompok dengan membuka tawaran vaksin secara walk in namun ianya mengundang perkara yang tidak diingini iaitu berlaku kesesakan luar biasa sehingga melanggar SOP.

MBM amat risau apabila perkara ini berlaku kerana ianya akan memberikan kesan negatif iaitu kemungkinan jangkitan yang tidak diingini khususnya kepada sukarelawan PPV yang majoritinya adalah belia dan ahli-ahli gerakan belia. Sudah terdapat kes sukarelawan dijangkiti Covid-19 sebelum ini, apatah lagi varian Delta yang amat berbahaya ini.

Justeru, MBM menggesa pihak Kerajaan agar tegas memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan kesesakan luar biasa dan menjaga keselamatan sukarelawan seperti berikut :

  • Menggembleng tenaga pasukan Rela untuk mengawal suasana di luar PPV dan bukannya sukarelawan PPV;
  • Menyuraikan kehadiran orang ramai jika dilihat terlalu ramai dan padat;
  • Memberikan keutamaan kepada individu yang telah mendaftar vaksin terlebih awal di MySejahtera agar mereka berasa selesa untuk hadir ke PPV tanpa kesesakan yang membimbangkan.

Di kesempatan ini, pihak MBM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada sukarelawan PPV yang rata-ratanya golongan belia atas pengorbanan khidmat negara dan amal bakti ini. Sesungguhnya ianya adalah gambaran semangat patriotisme yang amat tinggi ditonjolkan oleh mereka khususnya dalam bulan kemerdekaan ini

WAN MOHD HUSNI ABDULLAH

Ketua Penerangan

Majlis Belia Malaysia

Tarikh: 13 Ogos 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »