KUANTAN 14 Dis.2013 – Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Gerakan Belia 4B (GB4B) Pahang menyumbang bantuan berupa makanan, minuman dan pakaian berjumlah RM10,000 kepada mangsa banjir di Perkampungan Sungai Isap dan Bukit Rangin di sini semalam.
Selain bantuan tersebut, sebanyak 50 sukarelawan pertubuhan itu turut menawarkan diri membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka.
Bantuan itu dijalankan di bawah program Sukarelawan Skuad Prihatin Gerakan Belia 4B yang turut dihadiri Naib Presiden MBM, Wan Salwati Abdullah dan Pengerusi GB4B Pahang, Ahmad Daniar Ismail.
Menurut Ahmad Daniar, pihaknya memberi fokus terhadap bantuan makanan dan kebajikan tertentu bagi meringankan beban mangsa yang menghadapi bencana itu.
“MBM dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Pahang terpanggil membantu mangsa banjir berkenaan dengan menyumbangkan bantuan ini termasuk meminta tenaga ahli terbabit membersihkan kediaman dan kawasan di sini,” katanya di Sungai Isap di sini semalam.
Menurutnya, kedua-dua pertubuhan itu bekerjasama secara bergilir selama seminggu untuk bergotong-royong membersihkan kediaman mangsa yang teruk dilanda banjir pada minggu lalu.
Dalam pada itu, Salwati berkata, beliau mendapatkan maklumat daripada GB4B Pahang tentang kawasan yang paling terjejas dilanda banjir dan pihaknya menggerakkan ahli sukarelawan MBM untuk ke sana.
“Kita segera melaksanakan operasi bantuan makanan dan minuman untuk mangsa di beberapa lokasi di sini,” ujarnya.