Majlis Belia Malaysia (MBM) menzahirkan rasa dukacita dengan laporan yang dilaporkan oleh Transparency International (TI) mengenai ‘score’ dan ‘ranking’ Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). MBM turut merasakan ini merupakan satu perkara yang sangat serius dan pihak Kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih drastik dan teratur dengan strategi dan perancangan yang lebih baik.
Antara punca yang menyebabkan CPI semakin merudum ialah keadaan institusi kerajaan yang tidak stabil. Kita sedia maklum dengan beberapa siri pertukaran kerajaan dalam tempoh yang sangat singkat. Selain itu, dapat dilihat juga pemain-pemain politik yang menyalah guna kuasa yang semakin parah dan melompat parti bagi tujuan tertentu. Ini dilihat satu budaya politik yang tidak sihat.
Dapat dilihat bahawa faktor ini menjadi punca utama CPI negara Malaysia semakin menurun. Di tambah dengan pemain-pemain politik mengambil peluang dan ruang ini untuk terus bermain politik bagi mengekalkan kedudukan dan pangkat dan ini sudah pasti kegiatan rasuah berlaku dan pasti ia melibatkan lebih banyak golongan dan institusi.
Untuk meningkatkan kembali prestasi Malaysia, beberapa tindakan perlu diambil dengan tegas dan teratur. Cadangan penambahbaikan oleh pihak Transparency International (TI) Malaysia perlu diambil tindakan serius oleh Kerajaan. Pihak Kerajaan perlu merangka strategi yang betul dan teratur bagi memastikan imej Malaysia dapat dipertingkatkan kembali. Selain itu, MBM juga bersetuju dengan pendapat yang mencadangkan agar, Ketua Setiausaha diberikan mandat yang penuh untuk mengambil tindakan dan keputusan berkaitan perlakuan rasuah di Kementerian. Namun, perlu juga pemantauan oleh beberapa pihak bagi memastikan keputusan dan tindakan yang diambil adalah adil dan tidak dilihat bias.
MBM juga suka mengulangi cadangan agar jawatankuasa bebas bagi menyiasat kes Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi segera membersihkan imej KP SPRM serta SPRM sendiri dan menangani persepsi masyarakat awam terhadap SPRM yang semakin terhakis kerana ia juga bakal menyumbang kepada kemeruduman kedudukan Malaysia dalam CPI pada tahun ini. MBM juga tidak mahu anak muda terus memprotes akan isu ini di jalanan dan ianya mesti diselesaikan segera melalui jawatankuasa bebas ini.
MBM juga mencadangkan agar semua pihak memainkan peranan bagi memerangi gejala rasuah. Persatuan, NGO, Yayasan dan semua institusi perlu memainkan peranan dalam memurnikan dan membersihkan kembali imej negara. Gerakan sosial seperti Gerakan Rasuah Busters perlu didokong bagi memobilasi masyarakat memerangi rasuah di semua peringkat.
Isu rasuah pastinya memberikan kesan langsung kepada generasi muda dan generasi masa hadapan, justeru MBM akan terus konsisten memperjuangkan dan menangani secara serius isu ini bagi memelihara hak generasi muda dan generasi masa hadapan.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
&
Pengerusi
Sekretariat Belia Rasuah Busters
Bertarikh : 26 Januari 2022