Majlis Belia Malaysia (MBM) mendokong kuat syor dan saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar digubal satu akta mewajibkan anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.
Ia diyakini akan menjadi mekanisme berkesan mewajibkan anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta yang sebelum ini tiada mekanisme penguatkuasaan undang-undang berikutan Parlimen meluluskan usul yang mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan disertakan salinan kepada pihak SPRM.
Sebagai agensi penguatkuasa, SPRM juga telah menyatakan kesediaan dan komitmen yang tinggi bagi melaksanakan tugas penguatkuasaan apabila akta ini digubal dan diluluskan kelak.
MBM amat yakin ia merupakan salah satu lagi agenda tatakelola atau governan yang baik dan iltizam politik yang tinggi bagi memastikan ketelusan dan usaha mencegah rasuah serta salah guna kuasa. Ia juga baik untuk menjadi peringatan kepada pemimpin agar mengekalkan gaya hidup sederhana serta menyantuni kehidupan rakyat terbanyak.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 15 Julai 2021