Seri Kembangan 18 Mac – Buat kali kedua, Majlis Belia Malaysia (MBM) diamanahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pemerhati Tempatan bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Seramai 330 orang belia dari 165 kawasan Parlimen di Semenanjung menghadiri Kursus Pemerhati Tempatan untuk pilihan raya umum (PRU) yang berlangsung selama dua hari di sini.
Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup berkata, “tanggungjawab Pemerhati NGO Tempatan ini memberi ruang kepada kepimpinan dan ahli belia setempat melalui sendiri proses pilihan raya di negara ini”.
“Ini juga adalah komitmen MBM sebagai sebuah badan induk pertubuhan belia tertinggi negara bersama melancarkan sistem demokrasi berparlimen di negara ini. Mereka yang terpilih dan dilantik ini menjalani sesi taklimat dan penerangan tugasan yang disampaikan oleh pegawai SPR”, ujar beliau.
“Penerangan ini meliputi tugasan pemerhati bermula dari pembubaran Parlimen, penamaan calon, tempoh berkempen, pengundian sehingga pengumuman keputusan dibuat. Lebih dari itu, pemilihan MBM membuktikan kepercayaan yang diberikan oleh pihak SPR atas komitmen yang ditunjukkan dalam PRU ke-13”, tambahnya ketika merasmikan penutup kursus tersebut.