Meru 16 Disember – YB Dato’ Seri Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menghargai khidmat dan gerak kerja yang di lakukan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) menerusi program Komuniti Sukarelawan Belia 1 Malaysia (MyVOC).
Penghargaan tersebut diucapkan kepada Setiausaha Agung MBM Sdra. Ahmad Saparudin Yusup sewaktu lawatan mengejut beliau ke Pusat Pemindahan Banjir SMK Meru, Kapar sewaktu lewat petang tadi.
MBM melalui team MyVOC melakukan 3 program besar iaitu Program Pendidikan Kanak-kanak, Projek Tirai dan Bantuan kepada OKU. Program Tirai merupakan julung kalinya diadakan bagi tahun ini di bawah Komuniti Pengurusan bencana sementara Program Pendidikan yang digerakkan oleh Sdr Nizam Shopery terus berjalan. Turut sama membantu adalah sukarelawan Majlis Belia Daerah Klang diketuai Pengerusinya Sdra Haiziee Mohd Salleh.
Dalam lawatan mengejut tersebut beliau memeriksa sistem pengurusan pusat bencana dari sudut perjalanan operasi dan struktur kerjanya. Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ini, beliau telah memberikan beberapa komen dan pandangan beliau untuk meningkatkan urusan pengurusan.
Seusai mengimamkan solat maghrib bersama para pegawai dan sukarelawan beliau mengambil kesempatan meziarahi mangsa yang mengungsi di pusat pemindahan ini. Untuk rekod seramai 34 keluarga berada di pusat ini sejak 14 Disember lalu.
Beliau juga turut menyerahkan katil lipat MBM kepada 2 orang OKU dan seorang pelajar yang baru berkhatan. Turut diserahkan kepada wakil ketua keluarga adalah Kit Bantuan Permulaan yang disediakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Ketua Pengarah JPAM juga turut hadir bersama agensi lain seperti Jabatan Kebajikan, RELA dan lain-lain.