Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK) sepakat menggesa Kerajaan Negeri Kedah menggerakkan siasatan awam bebas bagi mengenal pasti punca sebenar banjir besar itu berlaku dan mengenal pasti kelemahan bagi mencari langkah segera pemulihan dan pencegahan. Perkara ini turut dicadangkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM).
Ia amat diyakini mampu menamatkan segala spekulasi masyarakat awam sekaligus mencari jawapan berfakta bagi menegakkan keadilan dan kebenaran tanpa secara semberono menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak. Penduduk Yan juga berhak mengetahui punca sebenar berlakunya banjir luar biasa ini kerana ia telah menyebabkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kerosakan ekosistem persekitaran Gunung Jerai.
Jika sekiranya terbukti ada pihak yang bersalah, maka mereka wajib dibawa ke muka pengadilan untuk diadili.
Gunung Jerai adalah kawasan sensitif yang wajib dilindungi dan dipulihara untuk diwariskan secara baik kepada generasi masa hadapan. Segala aktiviti yang memusnahkan kawasan ekosistem (sekiranya wujud) perlu dihentikan serta merta, disiasat dan dituntaskan langkah pemulihan agar kejadian yang sama tidak berulang.
MBM dan MBNK ingin merakamkan ucapan takziah kepada penduduk Yan yang terkesan seperti kehilangan nyawa, kehilangan individu yang masih tidak dijumpai dan kerosakan harta benda termasuk Pejabat Majlis Belia Daerah Yan yang turut terkesan teruk. Ini merupakan bencana dalam bencana sementelah Kedah sedang berhadapan dengan kes Covid-19 yang tinggi.
MBM dan MBNK dengan kerjasama beberapa pihak berautoriti telah pun menggerakkan penyelarasan misi dan strategi bantuan banjir dengan kebenaran pihak berkuasa dan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan keselamatan sukarelawan dalam suasana pandemik.
MBM dan MBNK amat memandang berat dan serius isu berkaitan alam sekitar ini kerana ia merupakan isu yang menjadi cabaran terbesar semasa yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Jika ianya tidak ditangani secara serius oleh semua pihak khususnya pihak berkuasa maka ianya akan menjadi krisis terbesar jangka panjang selepas Covid-19 dan akan menjejaskan hak generasi muda dan generasi masa hadapan untuk mewarisi alam ini secara baik dan sempurna.
JUFITRI JOHA
Presiden, Majlis Belia Malaysia (MBM)
HAMDAN JAMEL
Pemangku Presiden, Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK)
Tarikh: 20 Ogos 2021