MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM dan Kempen Not Too Young To Run (NTYTR) 2021

Oleh:

Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia / Penyelaras Sekolah Politik MBM 2.0

If young people are not too young to get married, to serve in the military or to choose the parliamentarians who will represent them, they are Not Too Young To Run”

Martin Chungong, Secretary General for Inter-Parliamentary Union

Not Too Young To Run (NTYTR) pada asalnya adalah usaha sekumpulan belia di Nigeria yang telah berkempen untuk menurunkan had usia untuk bertanding bagi jawatan politik di Nigeria. Matlamat utama kempen tersebut ialah untuk menambahkan suara belia didalam Parlimen dan partisipasi belia didalam proses politik. Kemuncak kepada kempen NTYTR di Nigeria ialah dengan mengusulkan Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan Republik Nigeria mengurangkan had kelayakan umur untuk Presiden daripada 40 tahun ke 30 tahun, Gabenor dari 35 tahun ke 30 tahun, Ahli Senat dari 35 tahun kepada 30, dan Dewan Perwakilan Rendah dari 30 tahun kepada 25 tahun dan Ahli Dewan Negeri dari 30 tahun kepada 25 tahun.

Usaha belia dari Nigeria tersebut telah menarik perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk turut sama mengambil bahagian di dalam usaha memperkasakan partisipasi para belia dalam politik. Pada 22 November 2016, NTYTR telah secara rasminya dilancarkan oleh PBB dibawah inisiatif Office of UN Youth Envoy bersempena Forum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia, Demokrasi dan Kedaulatan Undang-Undang (UN Forum on Human Rights, Democracy and the Rule of Law) di Geneva.

Pada ketika ini, bilangan populasi belia adalah terbesar yang pernah dunia ketahui. Separuh daripada warga dunia adalah di bawah umur 25 tahun, dan belia yang berumur antara 15-25 tahun membentuk satu perlima daripada itu. Namun begitu, belia masih tidak mendapat tempat dan masih kurang wakil dalam politik dan pejabat kerajaan. Antara faktor utama membawa kepada masalah ini adalah kerana had umur bagi bertanding bagi jawatan politk dan kerajaan. Majoriti Negara di dalam dunia ini mengamalkan polisi di mana had umur untuk bertanding di dalam pejabat politik adalah lebih tinggi berbanding had umur untuk mengundi. Diskriminasi berdasarkan umur ini juga sering bersama-sama dengan kekangan lain seperti kekangan budaya serta diskriminasi terhadap calon muda.

Pelbagai usaha telah berjalan dalam mempromosikan hak untuk orang muda bertanding dalam politik dan jawatan awam dengan memperjuangkan untuk menurunkan had umur untuk bertanding. Pada 2007, kempen “How Old is Old Enough” telah diadakan di England, Wales, dan Scotland untuk menurunkan had umur calon daripada 21 tahun ke 18 tahun, sesuai dengan had umur. Di Turki, orang muda telah melobi untuk mengurangkan had umur calon untuk bertanding di kerusi Parlimen daripada 30 tahun ke 25 tahun pada 2006. Makanya, NTYTR adalah kesinambungan daripada usaha-usaha yang dinyatakan di atas dan cuba untuk menjadikannya sebagai satu usaha kolektif di peringkat global.

Di Malaysia, umur calon mengundi dan menjadi calon juga telah berjaya diturunkan kepada 18 tahun pada tahun 2019 yang lepas.

OBJEKTIF KEMPEN

  1. Meningkatkan kesedaran berkenaan belia dalam jawatan politik dan jawatan kerajaan dengan mewujudkan platform khusus untuknya;
  2. Advokasi berkenaan hak orang muda untuk bertanding dalam politik, jawatan dalam kerajaan dan kepimpinan dalam satu-satu Negara dan memastikan peningkatan partisipasi orang muda di dalamnya; dan
  3. Mengumpul dapatan atau input dan idea daripada orang muda dari seluruh dunia berkenaan partisipasi orang muda dalam proses membuat keputusan melalui konsultasi secara maya.

KEADAAN DAN RELEVENSI KEMPEN DI MALAYSIA

Pemilihan orang muda di dalam Parlimen Malaysia bukan satu perkara yang baru. Malah, Mantan Perdana Menteri Malaysia, YB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri telah dipilih menjadi Ahi Parlimen Pekan pada usia 23 tahun. Contoh lain ialah Datuk Lee Lam Thye, mantan Ahli Parlimen bagi Bukit Bintang juga telah terpilih pada usia yang muda, iaitu pada 22 tahun. Tidak terkecuali tokoh-tokoh besar seperti Allahyarham Tun Razak, Tengku Razaleigh dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid juga termasuk dalam senarai tersebut. Manakala pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lepas, 58 calon daripada Barisan Nasional (BN) adalah mereka yang berada dalam kategori belia.[1]

Selepas PRU ke-14 bilangan Ahli Parlimen muda (di bawah 45 tahun) masih lagi kurang daripada 30 orang dan tidak berpadanan dengan bilangan belia di Malaysia yang mewakili separuh daripada warganegara Malaysia.[2]

Melihatkan kepada statistik yang ada, adalah wajar untuk kempen Not Too Young To Run ini terus digerakkan di Malaysia. Bilangan wakil belia dan orang muda harus ditambah bagi memastikan suara orang muda dan belia dapat didengar oleh kerajaan. Selain itu, kelompok ini mampu membawa idea-idea segar sekaligus bebas daripada bagasi konflik politik peribadi. Perlu diingatkan ahli politik muda jangan pula mewarisi perangai dan ‘fiil’ daripada ahli politik yang senior yang terpalit bagasi sejarah pertikaian politik peribadi kerana tidak guna bersalin kulit jika isi dalamnya masih sama!

MBM sebagai badan induk belia di Malaysia seharusnya mengambil usaha lebih di dalam menyokong lebih ramai wakil belia dan orang muda diletakkan sebagai calon-calon pilihan raya untuk dihantar ke dalam dewan legislatif khususnya PRU yang semakin menghampiri ini dan juga menjawat jawatan sama ada di peringkat persekutuan, negeri mahupun kerajaan tempatan dalam membuat keputusan dan penggubalan polisi.

[1] http://www.bharian.com.my/node/146800

[2] http://www.iyres.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=802:statistik-penduduk-malaysia&catid=146&Itemid=446&lang=ms

Justeru MBM akan terus menggerakkan kempen Not Too Young To Run dan sempena pelancaran Sekolah Politik MBM 2.0 pada 11 September 2020 yang lepas, kempen ini telah dilancarkan secara soft launch mengambil semangat sejarah hari pertama Parlimen bersidang pada 11 September 1959.

Semangat kempen ini juga bertepatan dengan resolusi Dewan Tertinggi MBM yang bersidang pada 14 Ogos 2020 yang lepas di Johor Bahru yang mendesak agar parti-parti politik yang bertanding meletakkan calon-calon muda dan muka baharu untuk PRU akan datang sama ada di DUN mahupun Parlimen.

Semoga 2021 memperlihatkan lebih ramai belia berada dalam Parlimen!

Laman Web Rasmi Kempen: http://www.nottooyoungtorun.org/

Bertarikh : 4 Januari 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »