Kejayaan Muhammad Ziyad Zolkefli meraih pingat emas dalam acara lontar peluru Paralimpik Tokyo 2020 disabotaj oleh kem Ukraine melalui protes yang dibuat. Difahamkan Ziyad bersama dua lagi atlet daripada Australia dan Ecuador mendapat status ‘DNS’ yang menyebabkan mereka dianggap tidak layak untuk beraksi susulan kelewatan mereka selama dua minit untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Berita yang mengejutkan ini telah merentap seluruh rakyat Malaysia. Malah seluruh dunia telah menjadi saksi kehebatan Ziyad sehingga berjaya memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali dengan catatan terbaik 17.94 meter, meninggalkan pesaingnya Maksym Koval yang melakukan catatan 17.34 meter. Keputusan rasmi menyaksikan pingat emas menjadi milik Maksym Koval sekaligus membatalkan catatan yang dibuat Ziyad sebagai pemegang rekod dunia.
MBM menyifatkan kem Ukraine tidak mempunyai semangat kesukanan yang tinggi apabila meraih pingat emas atas alasan teknikal. Tidak dinafikan peraturan dan perundangan sukan membenarkan mana-mana atlet melakukan protes, tetapi di tahap tertinggi seperti Paralimipik, elemen sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana ia melambangkan betapa rendahnya semangat kesukanan yang ada pada diri anda.
MBM berharap Ziyad Zolkefli kekal tenang walaupun ujian ini berat untuk dipikul. Anda akan tetap diraikan sebagai wira negara. Terima kasih juga kepada kem Malaysia yang diketuai Chef de Mission (CDM), Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin yang bertungkus lumus dalam melancarkan bantahan kepada penganjur. Tahniah kerana anda telah melakukan yang terbaik.
MBM tetap berdiri di belakang Ziyad atas segala pengorbanan yang telah dilakukan dalam mengejar aksi di Paralimpik Tokyo 2020. Untuk itu, MBM melancarkan Tabung Kemenangan Ziyad sebagai insentif kepada kejayaan beliau. Kepada penyumbang, anda boleh menyumbang terus ke akaun Maybank bernombor 5640 2540 3782 (Tabung Kemanusiaan Majlis Belia Malaysia) dengan Rujukan ‘WIRA ZIYAD’.
MBM bersama seluruh rakyat Keluarga Malaysia amat menghargai penat lelah dan usaha yang ditunjukkan oleh Ziyad rakan-rakannya. Kami berharap pihak kerajaan dapat mengiktiraf kemenangan Ziyad ini sama tahapnya seperti kemenangan atlet lain yang menyumbang pingat untuk negara. Ziyad juga berhak menerima insentif yang setimpal daripada pihak kerajaan.
WAN MOHD HUSNI ABDULLAH
Ketua Penerangan
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 1 September 2021