MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM dan badan gabungannya galas harapan dan tugasan besar

Majlis Belia Malaysia (MBM) merakamkan ucapan terima kasih atas pengumuman Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican bantuan RM2 Juta untuk gerakan belia utama di bawah naungan MBM sewaktu sesi dialog YB Menteri bersama Ahli Dewan Tertinggi MBM pada 4 Februari 2021.

Walaupun ianya sudah tentu merupakan suatu berita gembira buat pimpinan gerakan belia seluruh negara namun MBM menerimanya dengan penuh keinsafan kerana ianya merupakan amanah dan harapan besar daripada rakyat untuk melihat gerakan belia memainkan peranan yang berkesan bagi membantu belia, rakyat dan Negara apatah lagi di era pandemik.

Justeru MBM beriltizam untuk memainkan peranan lebih efisyen dengan penuh akauntabiliti sebagaimana yang dinasihatkan oleh YB Menteri sewaktu sesi dialog tersebut.

MBM juga menyeru seluruh badan gabungan MBM pelbagai kaum dan agama untuk sama-sama beriltizam berkhidmat lebih agresif dan berdedikasi menyerlahkan bakat belia dan menjadi pemudahcara mereka untuk menjadi warganegara yang efektif dan hamba Allah yang bertaqwa.

MBM juga akan menyahut saranan YB Menteri agar digubal satu model baharu pembangunan belia dan gerakan belia berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB), Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) dan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035. Ia juga harus selari dengan aspirasi, semangat zaman dan citra belia semasa atau apa yang digelar oleh World Economic Forum (WEF) sebagai generasi “pandemial”. Justeru, satu jawatankuasa kerja khas akan dibentuk bagi merealisasikan agenda penting ini.

MBM mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri dan barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang sentiasa komited sebagai rakan strategik MBM demi membangunkan belia dan Negara.

Ini masanya untuk kita memacu semula belia dan Negara ke pentas dunia.

#menggerakbelia

#beliabencirasuah

JUFITRI JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 6 Februari 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »