MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM cadang kerajaan wajibkan pengusaha kilang tanggung pembelian vaksin untuk pekerja

Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan Kerajaan mendapatkan bantuan dari pengusaha kilang-kilang di seluruh Negara untuk menanggung pembelian vaksin Covid-19 bagi pelaksanaan program imunisasi terutama untuk warga asing dalam kalangan pekerja mereka.

MBM beranggapan langkah ini merupakan situasi menang-menang (win-win situation) di antara Kerajaan dan pengusaha sektor perindustrian ekoran keputusan kerajaan baru-baru ini yang tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh (total lockdown) sebaliknya hanya mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Hasil kajian MBM mendapati kos pembelian vaksin juga masih dalam kategori munasabah dan boleh disediakan oleh pihak majikan. Sebagai contoh kos bagi vaksin Sinovac dari China dan AstraZeneca (Britain) berharga sekitar US$5 (RM20.70) bagi setiap dos.

Jika ini dilaksanakan, MBM percaya kaedah ini mampu membantu kerajaan menjimatkan kewangan Negara selain alternatif kepada tidak perlunya pelaksanaan lockdown malah ekonomi masih boleh terus berjalan tanpa menjejaskan sektor kilang malah peniaga-peniaga kecil juga masih boleh beroperasi.

Malah jika cadangan ini mendapat kelulusan dari pihak Kerajaan pengusaha-pengusaha kilang boleh membeli vaksin seterusnya pekerja-pekerja mereka divaksin dengan segera.

Dalam pada itu, MBM memperingatkan kepada semua pengusaha industri ini supaya mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. MBM juga mencadangkan jika terdapat mana-mana industri dan syarikat selepas ini yang berdegil dan didapati melanggar SOP serta menyebabkan kluster baru, mereka perlu menanggung kos swab dan perubatan yang berpunca dari mereka. Dengan cara ini pasti mereka lebih berhati-hati dan menitik beratkan SOP.

Seperti yang diketahui, sektor industri perkilangan merupakan penyumbang terbesar hingga 50% berlakunya kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka oleh itu, adalah wajar usaha vaksinasi ini percepatkan bagi pekerja di kilang-kilang.

MBM berharap usaha ini dapat memberi impak positif dalam penurunan indeks penularan Covid-19 ketika ini.

WAN MOHD HUSNI ABDULLAH

Ketua Penerangan

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 24 Mei 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »