PUTRAJAYA 30 Julai – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menyertai Bengkel Kumpulan Fokus Intervensi Kajian Mengenai Rasuah di Malaysia (MaCoS): Menangani Persepsi Rasuah yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan pandangan pelbagai pemegang taruh berhubung faktor yang mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap rasuah.
MBM diwakili oleh Eow Shiang Yen, Ahli Jawatankuasa Kerja MBM. Dalam sesi perbincangan, beliau berkongsi perspektif bahawa rasuah perlu dilihat sebagai cabaran tadbir urus dan institusi, bukannya isu yang dikaitkan dengan kaum, agama atau ideologi politik. Beliau turut menekankan bahawa dalam era komunikasi digital, algoritma media sosial, pempengaruh, kandungan kecerdasan buatan (AI) dan ekosistem platform digital memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap rasuah.
MBM turut mengesyorkan agar strategi komunikasi antirasuah diperkasakan melalui pendekatan whole-of-society yang menggabungkan reformasi institusi, pendidikan integriti generasi baharu, literasi algoritma dan media, perlindungan pemberi maklumat serta penyertaan aktif belia sebagai rakan strategik dalam memperkukuh budaya integriti dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi awam.


