Kuala Lumpur, 8 Feb 2014 – Peningkatan kos sara hidup yang dihadapi segenap masyarakat di Malaysia ketika ini dilihat menjadi masalah yang berterusan dan terpaksa ditanggung oleh rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah khususnya. Tidak dapat dinafikan, masalah ini telah membangkitkan kemarahan masyarakat yang dilihat semakin berani mengkritik kerajaan yang seolah-olah terus gagal dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah kos sara hidup ini.
Majlis Belia Malaysia (MBM) yang prihatin akan perkara ini telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan program Makmal Kos Sara Hidup Belia bagi membincangkan seterusnya mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah kos sara hidup dikalangan belia yang dilihat sebagai golongan yang paling tersepit untuk memulakan kehidupan. Program yang mendapat kerjasama daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) ini diadakan selama dua hari di Kompleks Darul Putri, Bangunan Putri Islam, Kuala Lumpur.
Makmal yang membincangkan enam isu utama termasuk perkhidmatan awam, percukaian, harga rumah, tarif elektrik, petrol dan keperluan asas ini dihadiri oleh Tengku Rahim Tengku Ramli iaitu wakil daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Sdr. Mohd Fariszan Ahmad yang mewakili Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Datuk Nadzim Johan selaku Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Moderator bagi makmal ini terdiri daripada barisan penyarah berwibawa daripada UPM iaitu Dr. Mohamad Fazli Sabri, Prof. Madya Dr. Haslinda Abdullah dan Prof. Madya Dr. Ismi Arif Ismail.
Turut hadir adalah barisan kepimpinan MBM diketuai Presiden, Sdr. Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee, Sdr. Manndzri Nasib, Sdr. Zaidi Aziz, Sdr. Ahmad Saparudin Yusup, Sdr. Mahendran Nadason, Sdr. Rizan Hassan, Sdr. Abu Qassim Abu Azmi dan Sdr. Reghu Devan Lopez.
Metodologi yang digunakan di dalam makmal ini adalah peserta yang terdiri daripada golongan belia daripada pelbagai latar belakang termasuk dari persatuan belia, persatuan pengguna, bloggers, kakitangan awam dan pelbagai lagi diberi penerangan terlebih dahulu daripada wakil kementerian mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan mengenai permasalahan kenaikan harga barang, harga rumah dan lain-lain. Berlandaskan penerangan tersebut, peserta seterusnya dibahagikan mengikut kumpulan tertentu bagi membincangkan permasalahan tertentu seperti perkhidmatan awam, tarif elektrik, petrol dan lain-lain. Setiap kumpulan akan menyatakan resolusi masing-masing dan didokumenkan untuk menjadi satu resolusi kepada permasalahan peningkatan kos sara hidup dikalangan belia dan akan dipanjangkan kepada YAB Perdana Manteri, Dato’ Sri Najib Razak.
Presiden MBM, Sdr Mohamed Maliki di dalam ucapan penutupnya menyatakan kerisauan beliau terhadap situasi yang berlaku sekarang ini. Beliau turut menggalakkan belia menjinakkan diri dalam bidang usahawan melalui pelbagai saluran dan dana yang disediakan oleh kerajaan bagi usahawan muda, selain bercucuk tanam bagi menampung kenaikan harga barang di pasaran. Selain itu, kedai-kedai 1 Malaysia harus diperbanyakkan lagi dan masyarakat juga perlu bijak membeli mengikut keperluan.