Kajang, 12 Oktober 2015 – Dalam kita menggalakkan anak muda untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat, Majlis Belia Malaysia (MBM) percaya bahawa ilmu pengetahuan dan kemahiran memainkan peranan penting agar gerakan khidmat bakti itu jelas dan bermatlamat.
Untuk itu, Malaysian Youth Volunteer Community (MyVOC) hari ini memulakan penjelajahan penganjuran Kursus Induksi MyVOC di lokasi pertama iaitu di Auto Terminal Training (TEKAT). Seramai 100 orang belia berkemahiran di dalam bidang Teknologi Automotif hadir dalam kursus ini.
Kursus ini dikendalikan oleh Saudara Rizan Hassan (Ketua Penerangan MBM) dan Saudara Hasnul Hanif Harun (Exco MBM). Turut membantu ialah Saudara Akmal Fadli, sukarelawan Sahabat MBM.
Kursus induksi ini memberi pemahaman teorikal kepada para peserta tentang dunia kesukarelaan yang sepatutnya dijadikan budaya hidup dalam setiap insan di muka bumi ini.
Penjelajahan kursus ini bermula hari ini di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu dan Pahang dengan melibatkan penyertaan para belia berkemahiran yang telah menyatakan kesediaan untuk bersama MyVOC membudayakan gerakan kesukarelaan di kalangan anak muda Malaysia.