MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM ANJUR KEMPEN BELIA DAULAT NEGARA

MBM ANJUR KEMPEN BELIA DAULAT NEGARA

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil perhatian serius terhadap insiden yang berlaku di Lahad Datu dan Sampoerna, Sabah yang telah memberi kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.

MBM mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati terhadap waris dan keluarga anggota-anggota keselamatan yang telah terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara. Sesungguhnya pengorbanan pejuang-pejuang ini patut dihargai dan rakyat perlu bersatu hati menyokong pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan Negara secara tidak langsung menyuntik semangat mereka yang berjuang untuk keselamatan negara dan bangsa.

Kejadian ini juga secara tidak langsung telah mewujudkan suatu situasi tidak sihat dalam kalangan sebilangan masyarakat melalui pandangan dan andaian yang negatif terhadap pihak berkuasa dan pemimpin Negara dalam menangani isu ini terutamanya boleh mengugat perpaduan dan keharmonian kaum.

Demi menzahirkan rasa keperihatinan terhadap apa yang berlaku, MBM sebagai badan induk pertubuhan belia negara ini yang menjadi pendokong kepada semangat perpaduan akan menganjurkan Kempen Belia Daulat Negara bermula pada 8 Mac 2013 dengan penglibatan majlis belia negeri-negeri, daerah dan kawasan di seluruh negara.

Di antara pengisian program ini ialah mengadakan solat hajat dan bacaan doa mengikut anutan agama masing-masing, kempen kutipan derma Tabung Wira Lahat Datu, pengedaran reben warna biru Jalur Gemilang yang melambangkan perpaduan dan Himpunan Belia Daulat Negara.

Sehubungan itu sebagai pelancaran kepada kempen ini, MBM menjemput badan-badan gabungan MBM, orang ramai, ahli dan pemimpin masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta dalam program tersebut tanpa mengira fahaman politik, ideologi, kaum dan keturunan dalam menyatakan pendirian kita berhubung isu pencerobohan penganas di Sabah.

Inilah masanya kita menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin dan pasukan keselamatan Negara. MBM yakin dan percaya segala bentuk tindakan yang telah diambil oleh pihak keselamatan adalah mengikut lunas undang-undang dan keperluan semasa demi mendahulukan kepentingan negara.

Sekian, terima kasih.

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

Presiden Majlis Belia Malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »