KUALA LUMPUR 10 Jun – Menuju Persidangan Non-Alignment Movement Youth Organisation (NAMYO) pada 20 Jun 2024 di Baku, Azerbaijan, Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diwakili Presidennya Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abd Hamid telah mengadakan sesi libat urus bersama organisasi Alam Sekitar seperti KUASA dan Kelab Belia Prihatin bagi mendapatkan pandangan tuntas berkenaan isu alam sekitar dan perubahan iklim menurut lensa Malaysia.
Turut hadir sama secara dalam talian Sdr. Mohamed Khairul Azman, Naib Presiden MBM dan Sdri. Asya Rahman, Exco MBM yang juga merupakan wakil MBM dalam Jawatankuasa Belia Kluster Perubahan Iklim.
Tujuan utama usaha ini adalah untuk mendapatkan pandangan yang mendalam dan spesifik mengenai isu-isu alam sekitar yang semakin mendesak. Pandangan dan idea yang dikumpulkan ini akan diangkat dan diperjuangkan dalam Persidangan Non-Alignment Movement Youth Organization nanti.
Kita sedar bahawa masa depan bumi kita berada di tangan kita. Oleh itu, adalah amat penting bagi kita (golongan belia) mengambil peranan aktif dalam melindungi dan memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
Kami percaya bahawa melalui dialog dan kerjasama yang erat, kita mampu mencari penyelesaian yang inovatif dan berkesan. Bersama-sama, kita boleh mencipta dunia yang lebih hijau, lebih bersih, dan lebih lestari.
Terima kasih sekali lagi kepada KUASA dan Belia Prihatin di atas komitmen yang diberikan. Ini adalah permulaan untuk satu perjuangan yang lebih bermakna.