MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM ANGGAP PENJANA MENGURANGKAN SEDIKIT KERESAHAN BELIA SAMBIL BERHARAP SISTEM PENYAMPAIAN LEBIH EFISYEN

Majlis Belia Malaysia (MBM) menganggap Pelan Jana Semula Ekonomi negara (PENJANA) mengurangkan sedikit keresahan dan kebimbangan belia khususnya yang berisiko hilang pekerjaan; graduan baharu; usahawan muda yang menceburi perusahaan kecil sederhana (PKS); belia di sektor ekonomi lejang (gig economy); belia kategori (NEET – not in education, employment & training); dan belia OKU. 

Ia juga dijangka menangani kadar pengangguran 6.9 % belia 15-30 tahun. 

Justeru MBM mengucapkan terima kasih atas fokus dan perhatian utama ditujukan kepada golongan belia. Segala permintaan yang dibuat dan diperjuangkan oleh MBM sebelum ini di bawah Jawatankuasa Tindakan Ekonomi MBM (JAKTEM) telah sebahagiannya dipenuhi seperti menangani pengangguran, menangani pembuangan pekerjaan, skim perantis, upskilling bagi yang dibuang pekerjaan, skim-skim latihan dan sekuriti sosial untuk ekonomi lejang.

Sekurang-kurangnya PENJANA menangani isu-isu jangka pendek yang memerlukan intervensi segera.

MBM mencadangkan beberapa cadangan berikut:

1) Kerajaan memperkasakan sistem penyampaian inisiatif supaya lebih efisyen dan cepat sebagai contoh spesifik setiap permohonan diberikan notifikasi penerimaan dan status permohonan dan menyelesaikan inisiatif-inisiatif terdahulu dengan kadar segera seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN);

2) Mewujudkan portal sehenti dalam talian (online) yang lebih informal dan interaktif untuk segala inisiatif-inisitaif berkaitan belia yang diumumkan dalam PENJANA mahupun yang sudah sedia ada supaya mudah diakses, dimohon dan mendapat maklumat dalam satu portal sahaja berbanding bertaburan sebelum ini. Dicadangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengendalikan portal ini;

3) Menggesa Kerajaan terus menangani jurang digital dalam jangka masa panjang dengan meningkatkan kemudahan dan prasana jalur lebar khususnya kepada belia dan rakyat di luar bandar, Sabah dan Sarawak supaya boleh memanfaatkan peluang perniagaan dalam talian termasuk inisiatif Global Online Workforce yang diumumkan dalam PENJANA;

4) Melibatkan MBM dan wakil belia dalam Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional seperti yang diumumkan bagi membantu memantau dan memberikan idea bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini;

5) Kerajaan juga boleh menambahkan lagi peluang pekerjaan untuk warga tempatan dengan agenda job localization bagi memberikan keutamaan pekerjaan yang lingkungan gajinya RM3000 – RM10 000 yang sepatutnya diisi oleh warga tempatan tetapi diisi oleh warga asing atau expatriate;

6) Kerajaan terus konsisten menjayakan agenda sekuriti makanan dalam kalangan generasi muda dengan menggalakkan pertanian pintar bagi menjadikan Malaysia sebagai pengeluar makanan.

MBM mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan atas pakej ekonomi jangka pendek ini dan MBM komited untuk terus membantu menangani isu pekerjaan, pengangguran dan keusahawanan dalam kalangan belia.

JUFITRI BIN JOHA

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh:  5 Jun 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »