19 November 2022 merupakan tarikh penting dalam menentukan tampuk pentadbiran negara melalui proses demokrasi yang telah diamalkan di negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan.
Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 merupakan PRU yang amat genting kepada negara setelah sepenggal yang lalu negara berhadapan dengan kecelaruan ekoran ketidakstabilan politik yang merugikan rakyat dan negara.
Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai badan induk pertubuhan belia mewakili suara anak muda dari pelbagai agama, kaum dan latar belakang di negara ini menyeru kepada seluruh rakyat khususnya golongan belia supaya keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab kita kepada negara. Setiap undi akan menentukan kepimpinan negara seterusnya menentukan hala tuju negara di masa hadapan.
PRU-15 juga menyaksikan pertambahan ketara calon-calon anak muda diketengahkan oleh parti-parti bertanding. MBM melihat senario ini sebagai satu pendekatan yang positif yang jelasnya semua parti-parti politik mengiktiraf sumbangan dan peranan anak muda dalam landskap politik negara.
PRU kali ini juga mencipta sejarah kerana buat pertama kalinya pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi selepas Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) dikuatkuasakan pada 15 Disember 2021 setelah diluluskan Parlimen Malaysia.
Sudah pasti, peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam memastikan hak dan kehendak golongan muda terhadap pentadbiran negara didengari dan direalisasikan.
Untuk rekod, MBM sudah mengorak langkah seawal tahun 2018 dengan mewujudkan program Sekolah Politik MBM bertujuan memberi pendedahan berkenaan pendidikan demokrasi kepada belia khususnya ahli di dalam persatuan belia. Lebih dari itu, MBM berharap agar satu usaha untuk melihat semula kurikulum di sekolah berkenaan “pendidikan demokrasi” diadakan dengan sesegera mungkin oleh kerajaan.
MBM juga terpanggil dengan menggerakkan inisiatif mengajak anak muda turun mengundi, dengan pelaksanaan program Jom Turun Undi yang berbentuk advokasi dan kesedaran kepada generasi muda khususnya pertama kali mengundi. Antara pengisian program ini adalah siri jelajah, forum, debat terbuka, edaran risalah dan kempen Tampung Tambang Balik Mengundi.
MBM turut berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang mengumumkan cuti umum pada 18 – 19 November 2022 selain tol percuma bagi membolehkan rakyat keluar mengundi.
Bagi mereka yang memandu pulang ke kampung, MBM menasihati agar kondisi kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat. MBM berharap perjalanan pulang untuk menunaikan tanggungjawab ini tidak dicemari dengan sebarang insiden yang tidak diingini.
MBM juga menyarankan agar majikan terutamanya pihak swasta memberikan kelonggaran kepada pekerja-pekerja sama ada yang ingin bercuti untuk pulang ke negeri masing-masing atau mendapatkan pelepasan bertugas.
Sejarah pilihan raya telah membuktikan bahawa peranan belia dalam sistem demokrasi tidak harus dipandang remeh. Janganlah kita menjadi belia yang hanya tahu mengkritik dan mencemuh sedangkan negara memerlukan sokongan kita untuk terus maju.
Marilah kita bersama-sama membuktikan bahawa belia bukanlah golongan yang banyak memberi masalah tetapi belia yang akan menentukan kejayaan dan kemakmuran sesebuah negara.
Akhir sekali, MBM berharap agar generasi muda dapat menggunakan fikiran yang waras dan bijak dalam menentukan pilihan ketika mengundi. Pilihlah pemimpin yang berintegriti dan amanah serta mampu mentadbir dengan baik.
Mengundilah dengan bijak dan tenang tanpa dipengaruhi sesiapa, ingatlah, satu undi anda memberi kesan kepada masa depan kita semua!
HASNUL HANIFF HARUN
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 18 November 2022