MAJLIS Belia FELDA Malaysia (MBFM) hari ini mendesak agar Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menilai semula tarikh transisi peralihan had umur belia negara daripada 1 Januari 2022 kepada 2023.
Presidennya, Muhammad Fadzli Hasan berkata, mereka patut diberi tempoh bagi membolehkan semua pihak bersedia semula dalam membina kembali pengkaderan kepimpinan baharu yang diinginkan bersama.
Menurutnya, MBFM tidak membantah hasrat kerajaan untuk menurunkan had umur belia kepada 30 tahun, tetapi tarikh perancangan transisi 1 Januari 2022 agak terlalu cepat dan sememangnya tampak tidak diperkemas serta tidak diselaraskan dengan baik.
“MBFM khuatir jika pindaan besar ini dijalankan secara tidak teratur, ia akan menggagalkan impian serta memusnahkan penanda aras baharu dalam kepimpinan negara dan transisi kepimpinan persatuan belia diperingkat akar umbi sehinggalah di peringkat kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MBFM mempunyai 317 persatuan belia cawangan dan 11 Majlis Belia FELDA Wilayah di Rancangan FELDA serta mempunyai 11 Majlis Belia Felda Wilayah di seluruh Negara.
“Kerajaan sebelum ini telah meminda Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (yang dikenali sebagai Akta 668) dengan menurunkan julat usia belia daripada 15 hingga 40 tahun kepada 15 hingga 30 tahun.
“MBFM tidak menolak, hampir setiap peringkat persatuan belia Rancangan juga telah terbantut dan terjejas dalam usaha berterusan bagi menjuarai pengkaderan pemimpin muda.
Sehubungan itu, beliau Fadzli menggesa Ahmad Faizal kembali mendekati pertubuhan-pertubuhan belia sebelum melaksanakan apa-apa cadangan yang boleh menjejaskan perkembangan belia masa kini.
Bagaimanapun, ujar beliau, MBFM sentiasa menyokong dan menyambut baik saranan atau idea baru oleh Kementerian Belia dan Sukan tetapi tidak pada tarikh yang dicadangkan transisi peralihan pada 1 Januari 2022 ini.
Artikel penuh :