MAJLIS BELIA MALAYSIA

MB seru belia manfaatkan Bulan Kemerdekaan

MKBBTSEREMBAN 15 Ogos – Golongan belia di negeri ini diseru supaya memanfaatkan sambutan Bulan Kemerdekaan yang dirai saban tahun bagi melahirkan kesedaran tentang peranan mereka kepada negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, golongan tersebut boleh menghayati erti kemerdekaan dengan mengadakan pelbagai aktiviti berfaedah kepada masyarakat sekeliling.

“Bulan Ogos tiap-tiap tahun kita sambut secara besar-besaran sebagai cara untuk menghargai kemerdekaan dan pembangunan negara hari ini.

“Tunjukkan rasa menghargai kemerdekaan ini dengan pelbagai aktiviti seperti berkonvoi supaya semangat kemerdekaan dapat dirasai oleh semua anggota masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Kereta sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-53 anjuran Majlis Kelab Bell Belia Tamil Negeri Sembilan (MKBBT NS) dan Pemuda MIC Negeri Sembilan di Kompleks Belia & Sukan Paroi di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abd. Samad Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam Negeri, Datuk V.S. Mogan.

Mohamad menambah, generasi muda perlu mengambil iktibar perjuangan orang dahulu dalam mendapatkan kemerdekaan untuk negara demi mengukuhkan jati diri.

“Golongan belia yang bakal menguruskan negara selepas ini perlu mempunyai semangat kenegaraan dan jati diri yang tinggi.

“Pastinya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, negara akan diuruskan oleh belia yang ada pada hari ini. Kalau hari ini mereka (belia) tidak dapat bersama arus perdana, apa jadi pada negara ini pada masa hadapan,” katanya.

Pada masa yang sama beliau menyeru persatuan-persatuan belia di negeri ini lebih aktif dalam tindakan termasuk menganjurkan program bersama masyarakat.

“Jangan buat program untuk syok sendiri atau buat untuk ahli sahaja, sebaliknya ia perlu melibatkan orang ramai agar sesuatu program itu lebih bermakna,” katanya.

Dalam pada itu, Konvoi Kembara bersempena Bulan Kemerdekaan itu bertujuan menyemaikan semangat nasionalisme dan sebagai salah satu cara mengisi kemerdekaan.

Pengerusi MKBBT NS, K. Murali, program membabitkan 80 kenderaan dihiasi dengan Jalur Gemilang berarak di tiga daerah iaitu Seremban, Rembau dan Tampin.

“Ia bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini dan sepanjang jarak lebih kurang 150 kilometer konvoi akan berarak dan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Konvoi membabitkan 300 peserta ini diharapkan dapat memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, konvoi tersebut turut disertai Pemuda MIC daerah Seremban, Rembau dan Tampin.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »