IPOH 2 Mei – Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak bakal melakar sejarah apabila menjadi satu-satunya cawangan pertubuhan itu yang bakal memiliki premis sendiri dengan pembinaan Silveryouth@Ipoh setinggi sembilan tingkat bernilai RM20 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, bangunan yang bakal didirikan berhampiran Stadium Perak dan Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu juga bakal menempatkan hotel, bilik penginapan berkonsepkan dorm, bilik seminar serta beberapa kemudahan sukan lain.
Kawasan yang dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta ini akan menjadi satu perkampungan berkonsepkan inklusif dan mesra belia, sekali gus menjadi mercu tanda pembangunan golongan muda di negeri ini.
Projek tersebut akan bermula awal tahun depan. Sekiranya ruang kawasan mencukupi, kita juga akan mendirikan pusat sukan lasak bersifat komersial supaya pendapatan yang diperoleh dapat digunakan untuk menampung pelaksanaan program anjuran MAYC,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MAYC yang diwakili Pengarah Syarikat Nurharapan Berhad (syarikat induk MAYC), Azman Abdullah bersama Legacy Vista Sdn. Bhd. yang diwakili Pengarahnya, Abdul Rahman Richard Abdullah selaku wakil pemaju, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Presiden MAYC, Mohd. Hasri Mohd. Hadzir.
Sementara itu Mohd. Hasri berkata, pembinaan Silveryouth@Ipoh di kawasan seluas 0.24 hektar itu dijangka menjadi lokasi menarik buat golongan belia termasuk 86,000 anggota mereka di seluruh negara.
Tambah beliau, premis tersebut justeru dilihat menjadi pemangkin kepada pentadbiran serta urus tadbir MAYC yang lebih sistematik.
© Utusan Melayu (M) Bhd