MAJLIS BELIA MALAYSIA

MASYARAKAT PERLU BIJAK MANFAATKAN INISIATIF ONE-OFF KWSP

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik keputusan kerajaan dalam meluluskan pengeluaran RM10,000 wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off kepada pencarum. Perkara ini sudah tentu mendatangkan khabar gembira kepada majoriti rakyat Malaysia terutama dalam kalangan mereka yang terjejas teruk akibat Pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir serta bencana banjir yang berlaku sejak penghujung tahun lepas.

MBM berharap keprihatinan kerajaan yang dipimpin YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob ini dapat dimanfaatkan sebaiknya seluruh rakyat Malaysia. Untuk memastikan jaminan dalam kelestarian kehidupan dalam jangka masa panjang, sebaiknya masyarakat hendaklah bijak untuk memilih samada mereka benar-benar perlukan wang tersebur atau tidak.

Dalam masa yang sama, kempen literasi kewangan dalam mendidik masyarakat menguruskan kewangan mereka juga perlu disinergikan bersama agensi kewangan, kementerian, Institut Pengajian Tinggi, NGO dan masyarakat. Ianya penting dalam menyampaikan kepentingan wang simpanan untuk masa hadapan serta mengelakkan masyarakat daripada berbelanja secara berlebihan.

Masyarakat juga harus sedar bahawa Malaysia mungkin berdepan dengan krisis sosial pada masa hadapan sekiranya kerajaan terus menerus meluluskan pengeluaran khas KWSP. Besar kemungkinan manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial bakal terjejas dan memberi kesan terhadap kesejahteraan masa depan pekerja selain akan membebankan pihak kerajaan.

Selain daripada itu, MBM juga berharap kerajaan dapat memberikan perhatian kepada golongan pekerja dalam sektor gig ekonomi yang majoritinya terdiri daripada golongan belia.

Mohd Izzat Afifi Abd Hamid

Presiden

Majlis Belia Malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »