KUALA LUMPUR | 22 Februari 2025 – Majlis Belia Malaysia (MBM) terus komited dalam memperkasa bakat seni anak muda dengan menganjurkan Master Class Asas Mural yang berlangsung di Bilik Latihan Wisma MBM. Program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 20 orang peserta.
Master Class ini dikendalikan oleh Sdr. Yaul Acap, seorang Pro Mural Artist berpengalaman yang berkongsi ilmu dan kemahiran kepada para peserta. Sepanjang sesi, peserta didedahkan kepada teori asas seni mural, demonstrasi secara langsung, latihan praktikal, serta strategi menjana pendapatan dalam industri seni mural.
Program ini bukan sahaja bertujuan mengasah kreativiti belia tetapi juga membuka peluang keusahawanan dalam industri mural yang semakin berkembang. Inisiatif ini selari dengan usaha MBM untuk menyokong pembangunan seni dan ekonomi kreatif dalam kalangan anak muda.











