ABDUL HAFEEZ BIN ABDULLAH
Pengerusi Biro Pertanian Dan Industri Asas Tani
merangkap; Exco Majlis Belia Malaysia
DEWASA ini isu bahasa hangat diperkatakan sehinggalah tulisan jawi mula digunakan kembali oleh belia dengan bantuan aplikasi teknologi. Bahasa melambangkan kedaulatan jiwa bangsa sesuatu negara. Pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan serta syarikat konglomerat besar yang beridentiti dan berlambangkan Malaysia perlu mempunyai nilai cintakan bahasa agung yang dituturkan lebih daripada 300 juta penduduk dunia. Hari ini saya melihat sendiri di Pusat Servis Perodua bagaimana paparan skrin mereka semuanya menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris. Global tidak bermakna semuanya harus diagungkan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi pusat servis itu hanyalah di Malaysia ini.
Bahasa Melayu perlu dilihat sebagai bahasa ilmu dan bahasa yang menghubungkan semua rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira status dan darjat.
Bahasa sebahagian sistem penyampaian yang paling efektif dan merata. Pengasingan bahasa hanya untuk rakyat sahaja adalah suatu hujah yang dangkal.
Semua pihak tanpa mengira status selagi mana menjunjung langit dan berpijak di bumi Malaysia wajib menyantuni Bahasa Melayu sebagai wadah penyampaian maklumat dan ilmu.
Segelintir pihak memandang sepi dan lesu akan kekuatan bahasa sebagai ejen penyatuan dan ilmu. Adakah dengan menggunakan bahasa asing sesuatu produk atau perkhidmatan akan dilihat sebagai berprestij dan bermutu. Sedangkan di negara maju seperti Jepun dan Jerman bahasa digunakan sebagai wadah unggul penyampaian ilmu. Kemajuan yang dikecapi negara terbabit terhasil dari kekuatan ilmu yang tersebar dan difahami semua golongan rakyat.
Semua peringkat masyarakat dapat menikmati maklumat dan rasa dihargai oleh mana mana agensi, syarikat dan perkhidmatan.
Adakan Bahasa Melayu terlalu lemah dan kerdil untuk maksud dan hasrat yang ingin disampaikan. Oleh yang demikian semua dari kita sama ada pihak kerajaan, korporat, kongolomerat, ahli perniagaan, syarikat insurans perlu memartabat Bahasa Melayu sebagai pengantara unggul wadah ilmu dan maklumat rakyat.
Sedangkan perkhidmatan atau urusan yang dijalankan tidak melibatkan pihak, warga dan entiti asing.
BAHASA JIWA BANGSA
Bertarikh : 26 September 2019