Oleh:
Sdr. Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik
Majlis Belia Malaysia
Kesan penjajahan itu panjang sekali. Kuku yang mencengkam tanah air berabad-abad hampir sahaja mematikan segala tentang tanah terjajah itu. Jika negara adalah sebuah rumah, bahasa adalah tiang serinya. Dalam banyak kes, rempuhan penjajahan sampai meruntuhkan tiang tengah yang menjadi tulang belakang rumah itu. Brazil dengan populasi hampir 200 juta penduduk berhasil sekali memencilkan bahasa peribumi ribuan suku-suku bangsa yang mendiami jajaran sekitaran belantara Amazon. Negara kelima teramai penduduk di dunia itu menggunakan bahasa Portugis sebagai bahasa rasmi. Manakala, hampir keseluruhan negara Amerika Latin seperti Argentina, Bolivia, Chile, Paraguay menggunakan bahasa Sepanyol yang berjarak puluhan ribu kilometer daripada negeri mereka. Fillipina negara yang sangat rencam. Secara ras, menurut Jose Rizal mereka mengidentifikasi sebagai Melayu. Secara etnik, mereka memiliki ciri khas etnisiti tersendiri. Pengaruh Sepanyol dan Inggeris begitu kuat di Fillipina. Kedua-dua bahasa berkenaan memainkan peranan subsidiari yang sering mengetepikan bahasa kebangsaan mereka iaitu Tagalog yang secara demografik awalnya hanya dituturkan oleh sekitar 30% daripada jumlah penduduk. India, negara dengan kepadatan penduduk kedua tertinggi di dunia telah beratus tahun menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar rasmi sektor awam dan swasta.
Dalam konteks Malaysia, kesan penjajahan itu lumayan. Golongan bangsawan yang menerima asuhan Inggeris didoktrinkan dengan cara berfikir dan cara hidup Inggeris. Kebanyakan mereka dihantar belajar ke negara Eropah, kemudian pulang dan memainkan peranan besar sebagai pembuat dasar, pembuat keputusan dalam segmen penting pentadbiran kerajaan. Kebanyakan mereka melazimi pertuturan sehari-hari dengan berbahasa Inggeris. Setengahnya menjadi pengkagum terhadap kebudayaan Inggeris (anglophile). Tambahan kepada yang tidak menerima pendidikan tempatan aliran sekolah Melayu atau Islam, mereka terputus dengan alam fikiran peribumi. Hasilnya, kelompok kayangan ini yang menjadi lisan dan tangan kerajaan memandang rendah segala keupayaan yang bersabit dengan nilai tempatan. Bahasa Melayu dianggap tiada memiliki wibawa dan bakat untuk menampung makna-makna ilmu moden yang sesuai dengan kemaraan zaman.
Ketika Malaya mencapai kemerdekaan timbul usaha sistematik untuk menamakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara. Hal berkenaan dilihat berjaya berlangsung selama masa 10 tahun selepas kemerdekaan. Sehinggalah desakan demi desakan oleh para pejuang dan penginsaf kebudayaan peribumi yang menyedari pentingnya jati diri dibangunkan oleh swa-acuan, tidak terpengaruh oleh bahasa yang dicorakkan daripada nilai tamaddun lain.
Kemunculan kelompok modenis yang beraliran Islam setidak-tidaknya membentengi usaha ini. Za’ba dengan segala kudrat yang termampu telah memikul usaha memodenkan bahasa Melayu bertujuan mengangkat harakatnya sebagai bahasa yang layak memikul taklif sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Sesudah era beliau, kesedaran untuk mewujudkan akta yang melindungi bahasa Melayu sebagai bahasa negara terhasil oleh usaha-usaha angkatan pejuang bahasa dan pemimpin yang sealiran dengannya. Kewujudan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memberi implikasi besar terhadap negara Malaysia yang baru merdeka. Seksyen 2 Akta berkenaan menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara. Walau bagaimanapun sebahagian besar seksyen yang terdapat pada keseluruhan akta berkenaan hanya berkisar terhadap usaha menggalak dan mendorong pemakaian bahasa kebangsaan tanpa memberikan lebih kuasa untuk mengambil tindakan terhadap tindakan tidak mematuhi. Pengukuhan bahasa kebangsaan kemudian disusul oleh Akta Pendidikan 1996 yang memberi isyarat bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib.
Namun, sehingga hari ini kedua-dua akta yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan bagaikan tiada taring jika tidak digubal bagi memberi kuasa mengambil tindakan hukuman kepada pihak berkaitan yang melanggar tatacara penggunaan bahasa kebangsaan. Keadaan dipersulitkan oleh kemahuan politik (political will) yang minimum terhadap usaha ini. Bagaimanapun keadaannya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pemegang taruh bahasa di negara ini tetap berusaha sekadar yang dibenarkan dalam bidangnya untuk memastikan kedaulatan bahasa kebangsaan diberikan lebih pembelaan.
Ironinya, Bahasa Melayu ini masih lagi dilihat mengeliat untuk jaga di tanah air sendiri. Yang mendodoi menidurkannya itu bukanlah datang daripada tangan penjajah lagi selain peribumi sendiri. Beberapa abad lagi ke hadapan jika derap langkah para penggubal polisi dan pembuat keputusan masih mengekalkan larian semasa, bahasa Melayu akan terus terperosok secara sistematik. Ianya kebenaran yang pahit. Senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan dalam temubual yang disiarkan akhbar Sinar Harian 28 Jun 2020. Beliau menyatakan bahawa “hampir kesemua daripada 150 PBT di seluruh negara dilihat tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu malah ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil ditetapkan”.
Justeru, pada 27 Jun 2020, telah diadakan perbincangan awal Jawatankuasa Draf pindaan Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) bermula. Tiada lain tujuannya selain untuk memberi lebih kuasa kepada DBP bukan sahaja ‘menggalakkan’, tetapi ‘mengenakan’ tindakan terhadap pihak yang ingkar terhadap pemakaian Bahasa Melayu bagi maksud yang dijamin oleh undang-undang. Jawatankuasa telah bersetuju melantik Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua 1 GAPENA sebagai pengerusi untuk meneliti tindakan yang perlu. Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai pemegang taruh belia yang penting di Malaysia turut menyertai perbincangan ini. Diwakili oleh Presiden, Sdr Jufitri Joha dan Sdr Muhamad Hanapi Jamaludin, Felo Penyelidik, MBM memberikan input agar Jawatankuasa ini turut melibatkan anak muda yang mempunyai pengaruh hebat di media sosial.
Selain mengharapkan ‘kuasa hukuman’, kami tetap mencadangkan ‘kuasa bawah sedar’ (subconcious mind) tumbuh secara organik melalui advokasi berterusan, merubah teras program agar tidak bersifat ‘old school’, mempelawa pemain youtube (youtuber), pempengaruh sosial media bersama untuk Bahasa Melayu yang muda, segar, bertenaga dan prestij. Penglibatan orang muda akan membentuk pandangan awam (mass opinion) terhadap proses advokasi berterusan mengenai kepentingan dan kewibawaan bahasa kebangsaan.
Soal mencungkil wibawa Bahasa Melayu dalam ehwal akademik telah terbukti. Prof. Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo yang turut hadir mesyuarat tadi, seorang saintis dan ideolog alam sekitar tersohor telah membuktikan. Prof. Emeritus Dr Shaharir Md Zain Matematikawan bergeliga dengan karya-karya peribumisasi sains, menerbitkan ilmu dalam acuan sendiri. Prof. Ir Dr Wan Ramli yang tersenarai sebagai Minda Saintifik Paling Berpengaruh di Dunia yang dinobatkan oleh Thomson Reuters bagi tahun 2015. Mereka ini antara yang konsisten menghasilkan tulisan-tulisan substansif mengenai pelbagai tema sains dan teknologi dengan pelbagai dapatan baru. Cuma, harus diakui bahawa, khalayak pembaca dan penerimanya relatif kecil. Kalangan pengkaji, pelajar dan masyarakat yang meminati perbincangan akademik sahaja yang mungkin menghargai, itu pun dengan syarat yang agak ketat – menaruh penghargaan dan perhatian terhadap Bahasa Melayu.
Pasaran yang lebih luas itu kuncinya banyak terdapat kepada anak muda, pengguna media sosial yang mewakili 65% pengguna laman sesawang (internet) menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdasarkan Kajian Pengguna Laman Sesawang 2018. Maka, tidak syak lagi, syor agar ikon kelompok umur belia di negara ini yang lebih menonjol dikalangan golongan sebaya dengan mereka dilibatsertakan. Bolehlah cuba dibahagikan baton kepada angkatan baru untuk sama membuat larian, memikul lelah untuk merakyatkan Bahasa Melayu sebagai perwakilan utama wajah Malaysia di pentas ekonomi, sains, teknologi, industri tidak hanya garisan penamatnya di sektor awam sahaja.
Tindakan kerajaan dalam beberapa abad ini dilihat masih tidak mendapat tekad sebulat suara dan upaya dikalangan rakyat. Kita mengetahui, sosialisasi rakyat yang rencam dengan pelbagai aliran dan orientasi membentuk cara fikir mereka terhadap nilai hidup. Sesetengah yang menerima pendidikan berasaskan Bahasa Inggeris akan terdorong menurut cara berfikir bahasa berkenaan. Tambahan bila mereka terbuat perbandingan, nyata lebih mudah menerbitkan maksud dalam bahasa asing itu. Keanjalan bahasa Inggeris menampung istilah baru yang lebih modenistik jadi alasan. Nilai kesejagatan (universality value) yang dirasakan terdapat pada bahasa Inggeris itu hanya mutlak. Sedangkan jika mereka mengadili sejarah secara objektif bahasa Inggeris itu hanyasanya menjadi bahasa global yang menjadi pengantar sains di Barat selepas abad ke -18. Sebelum itu Eropah menggunakan bahasa Latin sebagai wadah sains teknologi. Tanggungjawab para pemikir dan sarjana mereka telah membangunkan daya upaya bahasa Inggeris untuk menerbitkan sains melalui pelbagai cara, peminjaman istilah, penganjalan struktur nahu, dan intensiti penulisan dalam bahasa Inggeris yang meningkat berkali ganda.
Hampir sahaja kita menurut arus ke belakang. Kembali kepada minda terjajah yang berhempas pulas kita bergolok gadai cuba lepaskan. Cadangan untuk mewujudkan semula PPSMI. Barang yang telah dimuziumkan itu patutnya dibiarkan menjadi sebahagian masa silam. Patutkan mumia dibenarkan hidup bersama manusia? PPSMI telah terbukti gagal. Tulisan para ahli sains, matematik dan bahasawan telah membuktikan premis tersebut. Penulis tertarik untuk membawakan pandangan daripada anak muda dengan daya intelektual bersinar – Saudara Zamir Mohyedin. Dalam tulisan beliau tentang negara-negara terbaik dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan penyelidikan saintifik, hampir kesemua negara yang menempati kedudukan 1-20 menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing. Ia sebagaimana laporan yang dipetik daripada CEE Index of Excellence in STEM Education. Begitu juga kedudukan terbaik dalam permakahan PISA (ujian pemarkahan sistem pendidikan untuk murid 15 tahun dalam subjek sains, matematik dan membaca) masih diboloti oleh negara-negara yang memakai bahasa sendiri. Negara-negara berkenaan menggunakan bahasa ibunda dan bahasa pertuturan mereka dalam pendidikan sains dan matematik.
PPSMI telah dibubarkan hasil Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah dan digantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Jemaah Menteri juga memutuskan bahawa Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Matlamat melahirkan masyarakat yang berupaya menguasai bahasa Malaysia (BM) dan bahasa Inggeris (BI) dengan baik adalah antara fokus baharu dalam sistem pendidikan negara. Seperti digariskan dalam PPPM 2013-2025, penguasaan BM dan BI yang mantap serta kecekapan menguasai pelbagai bahasa adalah penting memandangkan persaingan global yang pesat. Selaras dengan pelaksanaan PPPM 2013-2025, Dasar MBMMBI memfokuskan usaha memartabatkan BM dan memperkukuh BI bagi melahirkan masyarakat yang mampu berkomunikasi dengan berkesan, bersatupadu serta dapat menjana daya saing hingga ke peringkat antarabangsa.
Saranan MBM teruskan sahaja dengan dasar semasa. Martabatkan Bahasa Melayu dan perkukuhkan Bahasa Inggeris. MBM juga menyokong penuh agar Dewan Bahasa dan Pustaka diberikan kuasa mengambil tindakan terhadap pencemaran dan pelanggaran Bahasa Melayu. DBP tidak seharusnya dilihat sebagai harimau dalam lukisan. Matlamat untuk mencapai agenda “Kemakmuran Bersama” dan mencapai negara maju harusnya bersekali dengan penjelmaan wajah sejati Malaysia yang mengangkat harakat bahasanya. MBM menyokong penuh usaha DBP meminda Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995). Semoga lebih ramai belia yang tampil membawa semangat Za’ba, Abdullah Munsyi di zaman gelora ini.
Bertarikh : 2 Julai 2020