Tuesday, 10 August 2010
KUALA LUMPUR 3 Ogos – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yakin langkah pemansuhan visa sewaktu ketibaan (VOA) yang diberikan kepada pelancong dari beberapa negara tidak akan menjejaskan industri pelancongan tempatan.
Naib Presiden Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MHA), Ivo Nekvapil berkata, kebanyakan pelancong yang menggunakan VOA hanya mengambil kesempatan untuk tinggal lebih lama di Malaysia tetapi tidak menyumbang kepada ekonomi negara.
Tegasnya, tindakan itu hanya akan merugikan Malaysia kerana berlaku aliran tunai ke luar negara.
“Bagaimanapun, perlu ada pendekatan baru bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dalam sektor pelancongan.
“Pengusaha sektor itu harus menumpukan kepada pasaran domestik berbanding luar negara untuk memastikan pembatalan itu tidak menjejaskan pendapatan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembatalan kemudahan itu yang sebelum ini diberikan kepada pelancong asing dari beberapa buah negara.
Menurut Muhyiddin, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan penyalahgunaan visa tersebut di kalangan segelintir pihak yang memasuki negara ini.
Negara yang diberikan kemudahan tersebut adalah China, India, Bhutan, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Taiwan dan Kepulauan Comoros.
Menurut Nekvapil, pihaknya menghormati keputusan yang diambil oleh kerajaan bagi menangani situasi lambakan pekerja asing yang hanya menggunakan VOA sebagai ‘tiket’ untuk bekerja di negara ini.
Dalam perkembangan sama, Ketua Jualan Asia Experience Tours, Clement Ho berkata, pembatalan itu tidak akan menjejaskan industri pelancongan yang selama ini lebih tertumpu kepada pelancong yang mempunyai visa.
Katanya, pemberian VOA selama ini tidak memberi sumbangan besar kepada sektor pelancongan.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dalam satu kenyataan menyambut baik usaha kerajaan memansuhkan pengeluaran VOA untuk menangani isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurutnya, keputusan itu menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu itu dengan lebih berkesan melalui satu sistem penyelesaian menyeluruh.
“Pembatalan itu tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negara atau mengganggu hubungan diplomatik dengan negara yang berkaitan.
“Pembatalan VOA juga bukan bermakna Malaysia bersifat prejudis terhadap masyarakat luar tetapi lebih dilihat sebagai usaha mencegah dan menjaga kepentingan negara,” katanya.