MAJLIS BELIA MALAYSIA

Mangsa banjir Bera terus dapat perhatian

BERA 26 Dis. – Keperitan mangsa banjir di daerah ini mendapat perhatian apabila UMNO Bahagian Bukit Bintang dan Majlis Belia Selangor (MBS) menghantar bantuan berupa makanan, kewangan dan selimut kepada mereka baru-baru ini.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Bukit Bintang, Norzaity Othman berkata, seramai 40 orang terdiri daripada ahli Putera dan Puteri parti turut membantu membersihkan rumah mangsa.

Menurutnya, sebanyak RM30,000 diperuntukkan untuk membeli barangan keperluan seperti beras, gula, susu, biskut, selimut dan lain-lain untuk disumbangkan kepada mereka.

“Sasaran sukarelawan UMNO Bahagian Bukit Bintang adalah untuk membantu lebih 100 keluarga mangsa banjir di pinggiran Sungai Pahang termasuk perkampungan Orang Asli.

“Kedatangan kami ke sini sebagai mengeratkan silaturahim untuk membantu saudara seperjuangan yang ditimpa kesusahan seperti mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan wang tunai dan barangan Misi Mangsa Banjir Bera 2013 kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Rakan Muda Bera di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Pengerusi MBS Daerah Petaling, Jamaluddin @ Jamil Alias berkata, apa yang dilakukan adalah sebagai simpati pihaknya dengan musibah yang menimpa mangsa banjir di negeri ini khususnya di Bera.

Tambahnya, usaha tersebut juga secara tidak langsung memberi mesej bahawa ‘rakyat Selangor tidak melupakan rakyat Pahang’ ketika berada dalam kesusahan seperti itu.

“Ini merupakan nilai tambah daripada pelbagai bantuan yang telah disediakan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »