MAJLIS BELIA MALAYSIA

Malaysia Melabuhkan Tirai Penyertaan di IFY 2026

KUALA LUMPUR, 24 September 2026 — Penyertaan Malaysia dalam International Festival of Youth (IFY) 2026 secara rasmi melabuhkan tirainya susulan kepulangan 10 wakil terakhir negara yang mengikuti Regional Programme.

Ketibaan kumpulan berkenaan melengkapkan kepulangan keseluruhan kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 52 wakil, iaitu 50 peserta IFY 2026 dan dua wakil bagi program Guardians of Memory.

Daripada jumlah tersebut, 10 orang merupakan peserta remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun yang mengikuti program khusus kanak-kanak dan remaja dengan pembiayaan penuh daripada Movement of the First.

Festival yang berlangsung di Yekaterinburg itu menghimpunkan golongan muda daripada pelbagai negara menerusi program berkaitan kepimpinan, pendidikan, pembangunan projek, media, kebudayaan dan kerjasama antarabangsa.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid, turut mengambil bahagian dalam sesi “Code of Unity” yang membincangkan soal kesatuan serta peranan generasi muda dalam mendepani cabaran semasa.

Delegasi kanak-kanak dan remaja Malaysia pula terlibat dalam program pembangunan khusus serta pertemuan International Association of Children’s Organizations Coordination Council yang memberi tumpuan kepada jaringan dan kerjasama organisasi kanak-kanak antarabangsa.

Selain menyertai sesi rasmi, delegasi Malaysia turut memperkenalkan kepelbagaian negara melalui pakaian tradisional, makanan, permainan, kebudayaan dan interaksi bersama peserta antarabangsa.

Sebahagian wakil Malaysia kemudiannya meneruskan penyertaan dalam Regional Programme di beberapa wilayah sebelum 10 wakil terakhir selamat kembali ke Malaysia pada 24 September 2026.

MBM merakamkan penghargaan kepada semua peserta, keluarga, pihak penganjur, urus setia dan rakan kerjasama yang telah menyumbang kepada kelancaran penyertaan Malaysia sepanjang program berlangsung.

Kepulangan keseluruhan delegasi bukan sahaja menutup perjalanan Malaysia di IFY 2026, tetapi turut membuka ruang kepada perkongsian ilmu, pelaksanaan idea dan kesinambungan hubungan antarabangsa yang telah dibina.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »