Apa itu KEMPEN ‘MAK KATA JANGAN’?‘MAK KATA JANGAN’ merupakan kempen diperingkat nasional yang pertama diinisiatifkan oleh #RASUAHBUSTERS dalam usaha membanteras rasuah di Malaysia.
Bahan utama kempen:- 3 video klip berbahasa Bahasa Melayu, Tamil dan Kantonis yang disokong oleh bahan-bahan kempen lain di dalam bentuk e-poster dan meme. Teras utama kempen : Rakyat Malaysia yang prihatin dan mengambil peduli tentang pentingnya membanteras rasuah dan turut bersama-sama menyebarkan dan mempromosikan video dan apa saja bentuk material sokongan kepada seberapa ramai yang boleh demi mewujudkan sebuah rantaian yang akan memberikan impak kepada pembasmian rasuah di Negara ini.
Platform Utama Kesemua landasan media baru dan lama. Kita akan jadikan ianya viral!MENGAPA MAK KATA JANGAN?
Dua sebab utama:-
Ibu adalah amat istimewa. Mereka sanggup mengorbankan segala kemahuan sendiri demi memenuhi kehendak kita, Kita tidak perlu bersusah payah mendapatkan kasih dan sayang seorang ibu. Seorang ibu mengasihi anaknya tidak kira siapa mereka, kaya atau miskin atau apa pun jua keadaannya. Walaupun mereka marah, kemarahan itu keluar dari kemurnian hati mereka dan atas dasar ambil berat terhadap kita. Ibu adalah insan terakhir yang kita ingin kecewakan.
Kami ingin menjadikan ‘Mak Kata Jangan’ sebagai budaya dan rutin dalam kita mencegah diri dari mengambil atau memberi rasuah kebiasaan. Sebaik berdepan dengan peluang dan kemungkinan melakukan salah laku rasuah, ingatkan diri kita bahawa ‘Mak Kata Jangan’. Bukan sekadar itu, Mak Kata Jangan juga boleh menjadi peringatan kita kepada orang lain sekiranya mereka pula ditawarkan dengan rasuah.
Bagaimana anda boleh membantu kami dalam kempen ‘Mak Kata Jangan’?
Jemput keluarga dan sahabat anda untuk BERTINDAK SEKARANG! :-
Viralkan seluas dan sebanyak mungkin 3 video dan semua bahan-bahan kempen yang anda perolehi.
Hasilkan karya anda sendiri sama ada video, poster, memes dan apa saja mengikut kreativiti anda menggunakan “Mak Kata Jangan”. Dapatkan bahan-bahan tersebut di www.MakKataJangan.com atau www.rasuahbusters.com.
Gunakan tanda pagar #RasuahBusters dan #MakKataJangan.
Pembasmian rasuah adalah sebuah perjalanan yang panjang. Matlamat utama kita adalah mewujudkan tabiat dan budaya nasional baharu melalui standard etika dan nilai-nilai moral tertinggi dengan menumpukan kepada punca berlakunya wabak rasuah. ‘Mak Kata Jangan’ merupakan kempen pertama kita bersama. Ianya tidak akan menjadi yang terakhir. Bersama kita bina Malaysia yang lebih baik!
Terima kasih
‘Mak Kata Jangan’
Hussamuddin Yaacub
Ketua Pasukan
#RasuahBusters Central Team
Kuala Lumpur