MAJLIS BELIA MALAYSIA

Majlis Perundingan Siswa di Perak

index

IPOH 22 Okt. – Kerajaan negeri hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Perundingan Mahasiswa Perak (MPMP) yang akan berperanan secara formal untuk memberi pandangan serta idea dalam proses membangunkan negeri itu.

Penubuhan MPMP menjadikan Perak sebagai satu-satunya negeri yang menubuhkan majlis perundingan seumpama itu sebagai satu daripada usaha mengiktiraf suara dan peranan anak muda dalam proses pentadbiran kerajaan negeri.

Buat permulaan, majlis perundingan itu dianggotai oleh 20 pemimpin pelajar dari Perak yang kini mengikuti pengajian di universiti serta kolej di seluruh negara.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim yang juga anak jati negeri ini dilantik sebagai Penasihat MPMP.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penubuhan majlis tersebut adalah sejajar dengan objektif kerajaan negeri untuk mengupayakan peranan generasi muda yang menjadi antara dasar terpenting dalam gagasan Perak Amanjaya.

“Sehubungan itu, dalam usaha meningkatkan pengupayaan generasi muda, mahasiswa juga merupakan salah satu kelompok yang kita tidak boleh nafikan sama sekali sumbangan mereka dalam konteks pembangunan negeri khususnya di Perak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada Irmohizam serta 20 anggota MPMP sempena penubuhan secara rasmi majlis perundingan tersebut di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohd. Zahir Abdul Khalid yang dilantik sebagai Pengerusi majlis berkenaan.

Zambry berkata, MPMP akan bergerak sebagai satu badan formal yang akan mengadakan mesyuarat secara berkala untuk menyalurkan pandangan berhubung sebarang isu termasuk mengenai pentadbiran kerajaan negeri atau kebajikan mahasiswa di universiti masing-masing.

“Ini merupakan satu pendekatan yang baik kerana mahasiswa mempunyai saluran atau interaksi dengan pihak kerajaan negeri dan ia membolehkan kita mendapat maklum balas tentang sesuatu isu yang timbul,” jelasnya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »