Kuala Lumpur 25 November – Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) 2015 – 2016 Sidang 2 Penggal Ke – 10 yang berlangsung pada pukul 9.00 pagi di Dewan Tun Dr. Ismail PWTC Kuala Lumpur. Menteri Belia Dan Sukan YB. Khairy Jamaluddin mempengerusikan MPBN yang diturut dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Datuk M Saravanan, Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan Datuk Jamil Salleh dan Presiden Majlis Belia Malaysia Haji Mua’ammar Ghadafi Jamal Jamaluddin dan Ketua Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negara Datuk Hatipah Ibrahim.
Sidang tersebut dimulakan dengan ucapan aluan oleh Presiden MBM Haji Mua’ammar Ghadafi Jamal Jamaluddin dan seterusnya ucapan YB. Khairy Jamaluddin yang mempengerusikan Sidang MPBN tersebut.
Transformasi MPBN akan dilaksanakan pada tahun 2016 dengan penekanan kepada kualiti persidangan dan perbahasan belia serta memperhalusi format baru untuk mengkaji semula hala tuju dan kaedah perlaksanaannya terutama dari segi konsep persidangan dan juga usul yang dahulunya sentiasa dikitar semula.
Antara usul yang diluluskan adalah menggesa kerajaan mempercepatkan penubuhan Lembaga Teknologis Malaysia (Malaysia Board of Technologies – MBOT) bagi tujuan pengukuhan dan pengiktirafan teknologi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di dalam RMK11 menjelang 2020, mencadangkan penwujudan kuota khas dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kepada pemohon lepasan sekolah menengah, cadangan memperkenalkan kad diskaun belia melalui penggunaan mykad untuk pembelian barang kawalan (beras,gula,minyak masak,tepung dll), mengesyorkan agar Akta Kebankrapan 1967 disemak semula dengan penambahbaikan supaya pihak kerajaan mengambil alih dan mengawal selia system CTOS, mengusulkan supaya pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan sempadan bagi mengekang pengedaran dadah, pil kuda dan bahan terlarang serta masalah sosial yang semakin meningkat, mengesyorkan pihak kerajaan mempertingkatkan program intervensi penggunaan internet secara bijak dan mengusulkan agar kerajaan mewujudkan skim sewa beli khas kepada belia yang gagal mendapat pinjaman perumahan daripada institusi kewangan.
Sidang MPBN ini diakhiri dengan penyampaian Sijil Insentif Penarafan Lima Bintang 2015 oleh YB. Khairy Jamaluddin dan Presiden MBM.