Kuala Lumpur, 16 Ogos 2010. Malaysia telah menjadi tuan rumah persidangan tahunan Model Global Bangsa-Bangsa Bersatu (GMUN 2010) di Kuala Lumpur dari 14 – 18 Ogos 2010. Persidangan yang diadakan di PWTC ini merupakan satu perhimpunan siswazah berumur antara 18 dan 24 tahun dari seluruh dunia, yang juga telah berlangsung di Geneva, Switzerland pada tahun lepas. Bertema “Ke Arah Satu Perikatan Peradaban : Mengeratkan Budaya untuk Mencapai Keamanan dan Pembangunan” persidangan ini akan meneroka isu-isu seperti hubungan globalisasi merentasi budaya serta perubahan kedudukan sosio-ekonomi dunia. Ia juga merupakan satu wadah bagi para belia untuk mengutarakan idea, pendapat dan penyelesaian-penyelesaian alternatif yang telahpun dibincangkan di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). Resolusi daripada persidangan ini akan disampaikan kepada Presiden UNGA. Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB. Dato’ Ahmad Shabery Cheek telah merasmikan program ini pada Isnin, 16 Ogos 2010 pada jam 9.00pagi di Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC. Turut hadir pada majlis tersebut, Presiden MBM, Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Setiausaha Agung MBM, Sdr. Mohd Zaidi Aziz serta Exco MBM Sdr. Khairul Annuar Mansor.