KUALA LUMPUR 10 April – Seminar Kepimpinan Siswa Guru Kebangsaan yang berlangsung selama 3 hari di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras telah melabuhkan tirainya hari ini.
Program anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) menghimpunkan lebih 136 orang wakil pelajar dari Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dari 27 buah Institut Pendidikan Guru Kampus seluruh negara.
Majlis penutup disempurnakan oleh Datuk Dr. Amin Senin, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau memberikan komitmen positif dan membuka ruang luas kepada MBM untuk bersama-sama membangunkan pelajar, siswa guru dan guru-guru muda di samping merapatkan mereka dengan pergerakan belia.
Turut hadir Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha, Pengarah Pusat Belia Antarabangsa, Dr. Hj. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Setiausaha Agung MBM Sdr. Hasnul Haniff Harun serta pegawai-pegawai KPM dan IPGM .