Selangor | 21 November – Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Reskills Edtech Sdn. Bhd. (ReSkills) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kerjasama dalam bidang Pendidikan Kemahiran secara dalam talian. Majlis berlangsung di ReSkills Hub, Damansara Perdana, Selangor.
Turut hadir YB Tuan Manndzri Bin Nasib, Ahli Parlimen Tenggara yang menyaksikan majlis memorandum persefahaman (MoU) tersebut.
MBM diwakili oleh Presidennya, Mohd Izzat Afifi Hj Abd Hamid manakala Reskills diwakili oleh Jin Tan, Ketua Pegawai Eksekutifnya.
MoU bertujuan membangunkan kerjasama dalam bidang akademik dan kemahiran secara dalam talian dan dan pendidikan atas dasar kesaksamaan. Ianya juga adalah usaha bagi menggalakkan hubungan dan persefahaman antara kedua-dua pihak. Presiden MBM berharap kerjasama ini bakal memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak selain menawarkan manfaat utama kepada generasi muda.
Menerusi kerjasama ini, MBM berharap para belia dapat mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka dengan lebih mudah. Konsep pendidikan dalam talian menerusi platform ReSkills dilihat mampu untuk menarik minat anak muda kerana ia memberi kemudahan kepada belia untuk akses kepada Pendidikan ditentukan mengikut kesesuaian masa dan lokasi mereka sendiri.
Menerusi kerjasama ini juga, MBM yakin dapat membantu pemimpin belia untuk memantap ilmu dalam memimpin dan mengurus persatuan belia menerusi kursus-kursus kepimpinan dan pengurusan organisasi yang akan diwujudkan di dalam platform ini. Ia sebagai satu agenda MBM dalam meningkatkan profesionalisme dalam pertubuhan belia
“Menerusi persefahaman ini juga, MBM dan ReSkills akan bekerjasama dalam memberi peluang kepada anak muda di Malaysia untuk mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti tinggi tanpa membebankan mereka”.
Hadir sama dalam majlis MoU ini Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun dan Setiausaha Agung Majlis Belia Selangor, Encik Zairy bin Rosli.








