MAJLIS BELIA MALAYSIA

MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM)

KENYATAAN MEDIA

SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM)

BERSAMA MEDIA DAN ANAK-ANAK YATIM

Bersempena dengan bulan Ramadan ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan Anak-Anak Yatim.

Majlis ini turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin pertubuhan belia, Alumni Majlis Belia Malaysia, mahasiswa-mahasiswa institusi pengajian tinggi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Lebih dari itu, kehadiran pemimpin-pemimpin dan golongan belia dari pelbagai kaum dan agama dalam majlis ini juga memberi peluang kepada mereka memahami sambutan keagamaan kaum lain.

Majlis ini diadakan bertujuan meraikan dan merapatkan hubungan silaturrahim di antara MBM dan rakan media yang banyak membantu dalam melapor dan menghebahkan aktiviti-aktiviti anjuran MBM dan belia Malaysia kepada masyarakat. Selain itu, pihak media yang bertindak sebagai medium penghubung antara MBM dengan masyarakat turut memberi sumbangan signifikan ke arah pembangunan belia Negara.

MBM juga ingin berkongsi rasa syukur di bulan Ramadhan yang mulia ini dengan memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Kajang. Rumah ini merupakan pusat jagaan bagi anak-anak yatim, golongan asnaf, fakir miskin, muaalaf dan ibu tunggal.

Pada masa sama, MBM juga menyampaikan sumbangan kewangan kepada Rumah Anak Yatim Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat yang baru-baru ini ditimpa musibah tanah runtuh dan telah mengorbankan 16 orang penghuninya. Turut hadir bagi menerima sumbangan ini ialah YBhg Dr Idris Hj Musa, Yang Dipertua dan Encik Muhammad Nidzam Sulaiman, Bendahari Rumah Anak Yatim Hidayah Madrasah Al-Taqwa.

MBM sekali lagi tampil ke hadapan dalam membantu satu lagi kes belia yang memerlukan bantuan perubatan. Rentetan dari kejayaan membela nasib Muhammad Hairuman Miskon, mangsa renjatan kabel elektrik voltan tinggi di Tanjung Karang pada Januari yang lalu, MBM semakin terpanggil untuk membantu kes-kes yang memerlukan bantuan segera khususnya dalam soal perubatan.

Terbaru adalah kes Adik Mohd Shah Haikal Mohd Sani yang menderita sakit jantung berlubang dan komplikasi injap sejak berusia 5 bulan. Berasal dari Kampung Baru Mukim 7, Parit Yaani, Batu Pahat , anak kecil ini adalah hasil perkongsian hidup antara Mohd Sani Amir dan Sanora Antong Ahmad.

Justeru, MBM telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan hasil dari pertemuan tersebut, MBM dengan kerjasama MediAssist4U iaitu sebuah NGO yang ditubuhkan pada 2006 serta berkerja rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan membantu pesakit-pesakit terutamanya yang menghadapi masalah kewangan telah berjaya membawa Adik Mohd Shah Haikal menjalani pembedahan jantung di Hospital Narayana Hrudayalaya Institute, yang terletak Banglore, India.

MediAssist4U juga merupakan NGO dan menjadi rakan kongsi pintar Hospital Narayana Hrudayalaya Institute, yang terletak Banglore, India. Pada tahun 2008, Program Pediatric Cardiothoracic telah diperkenalkan dan semenjak itu, MediAssist4U telah berjaya menghantar sekurang-kurangnya satu kumpulan yang mengandungi 3 hingga 6 orang pesakit setiap bulan ke Banglore untuk mendapatkan rawatan.

Turut sama dalam mengiringi beliau ialah ibu bapa dan dua orang sukarelawan MBM iaitu Saudari Siti Nurnabilah Binti Md Khanafi dan Saudari Koh Kar Ling. Sukarelawan ini akan bersama menemani Adik Mohd Shah Haikal  dan ibunya serta bersedia memberi sebarang bantuan sekiranya perlu bagi memastikan kebajikan dan keselesaan keluarga ini terjaga sepanjang berada di hospital.

MBM menyeru kepada semua sahabat-sahabat belia dan rakyat Malaysia agar sama-sama mendoakan keselamatan anak kecil itu dengan harapan pembedahan berjalan dengan lancar dan selamat.

Selain itu, kedatangan bulan Ramadhan kali ini mencatat keunikannya tersendiri kepada rakyat Malaysia. Dikenali sebagai bulan kemerdekaan, tahun 2011 mencatat sambutan hari kemerdekaan kali ke-54 yang menandakan pembebasan negara dari cengkaman penjajah. Pelbagai acara meluahkan rasa cinta kepada negara pada bulan ini, dan salah satunya adalah melalui Kempen Kibar Jalur Gemilang sebagai simbolik rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.

Sempena majlis ini, MBM menyerahkan simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada badan-badan gabungan MBM untuk dipasang dan dikibarkan di premis-premis dan pejabat pertubuhan belia di seluruh Negara. Usaha ini sedikit sebanyak mampu menyemarakkan lagi sambutan hari kemerdekaan Negara kali ini.

Sekian, terima kasih.

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Tarikh         : 19 Ogos 2011

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »