KENYATAAN AKHBAR
SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA SERU GENERASI MUDA TANAMKAN AZAM, TINGKATKAN TEKAD BERSAMA JAYAKAN TRANSFORMASI NEGARA SEMPENA SAMBUTAN TAHUN BARU 2012
Majlis Belia Malaysia (MBM) mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2012 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
Sebagai badan induk pergerakan belia negara ini, MBM akan meneruskan peranannya sebagai juru bicara rakyat yang memperjuangkan kepentingan isu-isu belia dan masyarakat. Visi MBM juga seiring dengan matlamat kerajaan berpaksikan gagasan 1 Malaysia.
MBM meletakkan kedudukannya sebagai ”makmal” yang bersifat progresif dan dinamik demi memastikan kerajaan memahami dan menerima maklum balas yang menyeluruh daripada segenap lapisan rakyat. Dalam masa sama, rakyat pula diberi penjelasan tentang polisi serta tujuan sesuatu dasar itu dilaksanakan.
Sehubungan itu, MBM berharap akan terus diberikan kepercayaan dan diterima oleh kepimpinan negara serta masyarakat untuk menjadi rakan kongsi pembangunan negara yang berwibawa.
Tetapi lebih awal lagi, MBM menjangkakan tahun 2012 akan dimulakan dengan acara penting iaitu Pilihanraya Umum yang ke-13. Dalam hal ini MBM dan keseluruhan saf kepimpinan belia negeri dan daerah amat faham dan maklum akan peranan masing-masing. MBM yakin sekiranya rakyat terutamanya golongan belia dapat menghayati dan meneruskan agenda transformasi Negara pastinya hala tuju dan perancangan mampu dilaksanakan dengan jayanya. Dalam konteks belia, sudah pasti transformasi ini berpandukan sejauh manakah suara muda didengari dan keperluannya dipenuhi.
MBM merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada kerajaan khasnya YAB Perdana Menteri kerana telah menyatakan secara terperinci cadangan agihan bajet 2012 kepada pembangunan belia. Menjadi satu sejarah yang akan diingati oleh semua penggerak belia apabila YAB Perdana Menteri secara terang menyatakan bahawa bajet pembangunan belia harus disalurkan dengan melibatkan MBM, Majlis Belia Negeri dan semua Majlis Belia Daerah. MBM percaya, setiap kepercayaan dan keyakinan YAB Perdana Menteri adalah hasil kerja keras seluruh penggerak belia di Negara ini.
Bagi tahun 2012, hasrat paling ulung MBM adalah untuk melihat generasi belia di negara ini sebagai suatu aset yang mampu untuk meneruskan kelangsungan negara ini. MBM mahukan belia bukan sahaja dilengkapi dengan pengetahuan serta kemampuan material malah perlu disediakan suatu persekitaran hidup yang sihat.
Justeru, tahun ini MBM akan melaksanakan lebih banyak program-program berbentuk pemupukan kepimpinan, latihan, intervensi dan kesukarelaan. Ia adalah usaha berterusan MBM untuk memastikan negara tidak ketandusan golongan pelapis kepimpinan muda bagi persediaan masa hadapan.
Tahun 2012 juga menjanjikan pelbagai acara penting buat negara malah kepada belia itu sendiri. MBM beriltizam untuk menjayakan Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya 2012 sebagai satu lagi pencapaian cemerlang bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Di samping itu, MBM mensasarkan untuk membina lebih banyak jaringan kerjasama melibatkan agensi-agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain demi memastikan usaha pembangunan dan perubahan masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan bersepadu.
MBM juga mengambil tanggungjawab dalam menjaga imej negara supaya terus cemerlang dan dihormati di peringkat antarabangsa. Justeru, MBM menerusi jaringan antarabangsanya seperti Pertubuhan Belia Sedunia (WAY), Majlis Kerjasama Belia ASEAN (CAYC), Majlis Belia Asia (AYC) dan pertubuhan-pertubuhan belia dari negara-negara Komanwel untuk bersama-sama menangani isu-isu yang bersifat global.
Sebagai bukti belia Malaysia turut serta dalam solidariti umat sejagat, MBM menyatakan sokongan penuh agar Negara Palestin diterima sebagai anggota penuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bagi menyokong hasrat murni tersebut, MBM telah menulis surat kepada semua kedutaan Negara asing di Malaysia agar mereka memberikan undi menyokong kemasukan Palestin ke PBB.
Akhirnya, MBM dan seluruh badan gabungan menyeru seluruh rakyat khususnya golongan belia supaya menanamkan azam dan tekad serta memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap usaha-usaha pembangunan dan transformasi masyarakat yang dilaksanakan oleh kerajaan.
MBM berharap semua pihak dapat hidup dalam suasana harmoni dan saling hormat-menghormati serta tidak lagi cuba melahirkan isu-isu yang boleh mengganggu gugat keharmonian kaum yang dinikmati selama ini.
Sekian. Terima kasih.
MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 31 Disember 2011