SETIAUSAHA AGUNG MAJLIS BELIA MALAYSIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) MENGUTUK KERAS TINDAKAN ISRAEL SERANG KONVOI BANTUAN KEMANUSIAAN DI GAZA
Majlis Belia Malaysia (MBM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap rejim Israel menyerang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza yang menyebabkan sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 30 lagi tercedera. MBM menyifatkan tindakan tersebut terlalu zalim dan diluar norma-norma kemanusiaan sejagat. Kejadian ini jelas menunjukkan sikap sebenar dan kerakusan Israel yang tidak pernah mengendahkan serta menghormati undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, MBM mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera campur tangan dalam isu ini dengan membuat ketetapan terhadap Israel di peringkat Majlis Keselamatan PBB.
MBM juga mendesak kuasa-kuasa besar dunia yang diketuai Amerika Syarikat untuk bertindak segera dengan memberi tekanan kepada Israel. Sikap berlembut PBB selama ini juga menyebabkan rejim ganas zionis bertindak membunuh dan melakukan jenayah perang semakin berleluasa.
MBM merasakan sudah tiba masanya PBB bertindak lebih agresif bagi membolehkan rakyat yang tidak berdosa mendapat pembelaan sewajarnya seterusnya memperbetulkan kekejaman dan kerosakan yang telah dilakukan oleh rejim zionis.
Sebagai generasi muda yang cintakan keamanan dunia, MBM melihat kejadian seumpama ini tidak sepatutnya berlaku bahkan misi bantuan kemanusiaan tidak perlu disekat memandangkan ianya tidak menyumbang kepada kepentingan politik sesebuah negara.
MBM sekali lagi meminta pergerakkan belia di seluruh dunia yang mencintai keamanan mengutuk tindakan ketenteraan Israel terhadap konvoi misi bantuan kemanusiaan ini. Sekian, terima kasih.
MOHD ZAIDI AZIZ
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 1 Jun 2010
Emel : mbm[at]belia.org.my