Firman Allah Taala “Wahai manusia, Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami menjadikan kamu berbangsa bangsa dan bersuku suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa, Allah Maha Mengetahui Maha Teliti”, Surah al-Hujurat ayat 12.
Ayat ini jelas menunjukkan seruan Allah Taala untuk kita saling kenal mengenal dalam konteks bukan hanya kemajmukan kaum bahkan hubungan lelaki – perempuan. Ia merupakan satu ilmu dan kemahiran untuk memahami keunikan dan keindahan ciptaan Tuhan yang pelbagai.
Menurut Allan & Barbara Pease penulis buku “Why Men Dont Listen and Women Cant Read Maps” menyebutkan bahawa Lelaki dan perempuan berbeza namun tergolong dalam spesis yang sama. Namun mereka tinggal di dunia yang berlainan serta mempunyai nilai dan peraturan yang berbeza.
Justeru, kita saling perlu memerlukan dan faham memahami bukan hanya untuk membina diri bahkan membina keluarga, organisasi, masyarakat dan Negara yang aman dan damai.
Profesor Yusuf al-Qardhawi yang menulis kitab “Markaz al Mar’ah fi al Hayati al Islamiyyah” menyebutkan bahawa Wanita mempunyai kedudukan penting di dalam masyarakat malah penyair menyebut “Ibu itu adalah sekolah, jika engkau telah menyiapkannya, Engkau telah menyiapkan rakyat yang baik sepenuhnya”.
Sejarah membuktikan wanita telah menjadi peneraju dan tunjang negara. Wanita diangkat sebagai pemimpin negara, penyelesai krisis politik, pendamai, pengerat hubungan diplomatik dan penerus legasi serta pencetus perubahan kepimpinan. Ini tercatat di dalam manuskrip Melayu pada abad ke-15 hingga ke-18.
Di Kelantan, Cik Siti Wan Kembang menjadi “ikon” wanita yang berperanan sebagai pemerintah. Puteri Sa’dong telah mempertahankan keutuhan dan kedaulatan Institusi Di Raja Kelantan. Dalam Kesultanan Melayu Melaka, Tun Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah telah berperanan sebagai pendamai dalam persengketaan di antara dua pihak yang bertelagah dan menyatukan komponen politik. Dalam kerajaan Johor-Riau, Tengku Tengah dan Tengku Kamariah turut berperanan penting dalam mempengaruhi kestabilan negara.
Malah dalam sejarah dunia, nama-nama seperti Raja Kleopatra (Mesir), Ratu Elizabeth I (Queen of England and Ireland) (1533 – 1603) dan Catherine the Great (Empress of Russia, 1762- 1796) merupakan raja-raja perempuan yang terkenal pada zamannya. Kepimpinan Indira Gandhi sebagai Perdana Menteri wanita pertama Negara India umpamanya banyak membawa perubahan di India. Antaranya memerangi kelaparan di India, mengembangkan teknologi nuklear, menjalankan program pertanian sehingga mampu menurunkan angka kemiskinan negaranya, menyelesaikan sengketa Kashmir dengan menandatangani Perjanjian Shimla dan memimpin sebuah gerakan yang disebut Revolusi Hijau untuk mengatasi kekurangan makanan di Punjab.
Malaysia turut tidak terkecuali dalam usaha menggalakkan emansipasi wanita. Negara telah melakar sejarah apabila Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim wanita pertama negara, Pn Latheefa Beebi Koya meneraju SPRM sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Datuk Dr. Noraini Ahmad, ahli Parlimen Parit Sulong merupakan Pengerusi Persatuan Ahli Parlimen Komanwel dan wanita pertama yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia. Tidak ketinggalan lewat ini, Malaysia melahirkan dua Sasterawan Negara yang ke-13 dan ke-14 di kalangan wanita iaitu Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Dr. Siti Zainon Ismail.
Setakat Februari 2019, 24.3 peratus wanita telah dilantik sebagai ahli Parlimen hampir mencapai sasaran 30% wanita sebagai pembuat dasar dan polisi kerajaan. Tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia bakal mengikuti negara Sweden, Afrika Selatan, Cuba, Andorra dan Rwanda yang mempunyai 40 hingga 63.8% wanita di Parlimen.
Di Majlis Belia Malaysia (MBM), buat pertama kali dalam sejarah pergerakan belia Negara, MBM mempunyai 6 orang exco wanita yang dikepalai oleh saudari Nurul Huda Mohamed Afandi. Biro Wanita MBM aktif menggerak advokasi dan program program pemerkasaan wanita. Isu-isu seperti perkahwinan di bawah umur, diskriminasi wanita di tempat kerja, keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi isu wanita giat diperjuangkan oleh Biro Wanita MBM. Pelbagai program turut diatur sehingga kemuncak kepada Sambutan Hari Wanita yang dikuasakan bersama Kasih (Persatuan Isteri-Isteri Menteri Kerajaan Pakatan Harapan), Dewan Bahasa dan Pustaka dan MBM sendiri pada 25 Ogos 2019 lepas. Program yang bertaraf kebangsaan ini disempurnakan oleh Tun Siti Hasmah Ali yang juga merupakan Pengerusi Kasih. Ini merupakan bukti agenda pemerkasaan wanita dan beliawanis dititikberatkan oleh MBM. MBM mengharapkan Biro Wanita MBM akan menjadi pemangkin kepada keutuhan MBM.
Penyertaan wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan politik penting bagi mewakili suara wanita dalam hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan, keperluan dan sokongan terhadap mereka dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Ini bagi menangani beberapa isu yang berkaitan dengan wanita seperti isu diskriminasi terhadap wanita dan sebagainya.
Sehubungan itu, sistem sokongan penting dalam menjayakan agenda wanita sebagai peneraju negara. Pelbagai usaha perlu digerakkan bagi menggalakkan emansipasi wanita umpamanya dalam sektor pekerjaan.
Di Malaysia kita bertuah kerana pihak kerajaan dan syarikat-syarikat swasta turut memainkan peranan dalam menyediakan sistem sokongan yang baik bagi menggalakkan emansipasi wanita dalam pelbagai bidang. Dalam bidang pekerjaan umpamanya Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KWKPM) telah mensasarkan semua agensi kerajaan agar menyediakan kemudahan taman asuhan kanak-kanak (taska) bagi memberikan kemudahan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil terutamanya kepada staf yang bekerja mengikut syif.
Dalam kemelut jurang gaji antara jantina di Malaysia yang berada pada aras yang agak membimbangkan iaitu sebanyak 28% seperti yang dilaporkan oleh World Economic Forum The Global Gender Report 2018, Philip Morris Malaysia (PMM) Sdn Bhd umpamanya telah membayar gaji yang sama kepada pekerja lelaki dan perempuan untuk kerja yang setara dan berjaya memperolehi pengiktirafan Equal-Salary daripada Equal Salary Foundation, sebuah badan bebas antarabangsa. Nestle Malaysia dan Maybank telah memanjangkan tempoh cuti bersalin kepada 6 bulan dan 1 tahun.
Sekiranya penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan berjaya ditingkatkan, Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) Malaysia juga akan meningkat sebanyak 7% ke 12%. Ini kerana walaupun bilangan pelajar wanita melebihi bilangan lelaki ketika di universiti tetapi bilangan wanita yang memasuki dunia pekerjaan adalah tidak berpadanan.
Bagaimana ingin mengisi agenda wanita sebagai peneraju negara? Apa persiapan yang perlu dilakukan? Tidak lain tidak bukan ialah melalui pengisian ilmu.
Akhirnya wanita mampu menjadi agen perubahan, peneraju negara dan pendidik yang berkesan bukan hanya dalam ruang lingkup keluarga tetapi lebih dari itu iaitu terlibat dalam memberi pandangan, pembuat dasar dan polisi negara yang akan memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Di kesempatan coretan ini, MBM suka mencadangkan agar Belanjawan 2020 akan menyaksikan peruntukkan yang lebih tinggi kepada sektor pembangunan wanita agar agenda memperkasakan wanita terus menjadi agenda utama Negara di era Malaysia baharu.
*Artikel ini diadaptasi dan diubahsuai daripada Ucapan Aluan Presiden MBM ketika Sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada 25 Ogos 2019 jam 8 malam di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).