MAJLIS BELIA MALAYSIA

MAJLIS BELIA MALAYSIA CALONKAN YB DATO’ IDRIS HARON

KENYATAAN AKHBAR

SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

PRESIDEN, MAJLIS BELIA MALAYSIA

MAJLIS BELIA MALAYSIA CALONKAN YB DATO’ IDRIS HARON

SEBAGAI PRESIDEN WORLD ASSEMBLY OF YOUTH (WAY)

SEMPENA XV WAY GENERAL ASSEMBLY,

22 – 26 NOVEMBER 2010, MELAKA

Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya kali ke-15 yang bertemakan Youth Rise for Peace! pada 22 hingga 26 November 2010 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka. Mesyuarat agung ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan kerajaan Malaysia selaku tuan rumah dan dijangka dihadiri oleh pemimpin-pemimpin belia dari 120 buah negara seluruh dunia.

Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) ialah badan induk kepada 120 buah majlis belia kebangsaan (national youth council) di seluruh dunia. Ditubuhkan pada 1949, WAY bergabung dengan agensi utama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) seperti UNFPA, DPI, UNAIDS, UNEP, UNESCO, WHO dan berfungsi sebagai penghubung di antara belia dengan UN.

Pada mesyuarat agung ini, YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam akan melepaskan jawatan sebagai Presiden WAY yang disandangnya sejak tahun 1993. MBM berbangga terhadap kepimpinan beliau sebagai Presiden WAY yang telah mengharumkan nama pergerakan belia Malaysia dan negara di mata dunia. Di bawah kepimpinannya, beliau telah berjaya membawa pertubuhan belia dunia ini ke peringkat yang cemerlang dan membanggakan.

Sehubungan itu, MBM akan mencalonkan YB Datuk Ir Idris Hj Haron sebagai wakil Malaysia untuk bertanding jawatan Presiden WAY. Pencalonan ini merupakan keputusan sebulat suara Mesyuarat Perhimpunan Agung MBM kali ke-58 yang bersidang pada 6 Januari 2010 lalu.

YB Datuk Ir Idris Hj Haron adalah Ahli Parlimen Tangga Batu dan Pengerusi Sektor Belia, Dunia Melayu Dunia Islam. Beliau merupakan mantan Presiden Majlis Daerah Alor Gajah. Selain itu, beliau juga adalah ahli berdaftar jurutera profesional Lembaga Jurutera Malaysia.

Proses melahirkan pemimpin menjadi agenda berterusan pergerakan belia Malaysia. Kita bukan sekadar mahu melahirkan pemimpin dalam negara, tetapi juga pemimpin negara yang mampu menerajui dunia.

MBM berharap dengan pemilihan ini, kita terus melakukan proses mengkayasa (reeingineering) pertubuhan belia antarabangsa yang dipimpin oleh Malaysia agar ia kekal relevan dan bermanfaat kepada belia seluruhnya. Selain WAY, Malaysia juga memimpin Asia Youth Council (AYC) dan Committee for Asean Youth Cooperation (CAYC).

MBM yakin dan percaya YB Dato’ Idris Haron akan dapat berkongsi pengalaman dan meneruskan tradisi memimpin pergerakan belia dunia melalui WAY. Malaysia sudah jauh ke hadapan dalam pergerakan belia dan kita yakin pengalaman ini boleh dimanfaatkan bagi membantu lain-lain pertubuhan belia dunia. Dengan cara ini juga, kita akan dapat mengibarkan bendera Malaysia dan mengharumkan nama negara di luar negara.

Sekian, terima kasih.

MOHAMAD MALIKI MOHAMED RAPIEE

Presiden

Majlis Belia Malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »