Oleh:
Sdr. Ong Kooi Jin
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan /
Exco Majlis Belia Malaysia
Masalah graduan menganggur boleh dikategorikan di dalam senarai permasalahan yang tidak pernah selesai. Samalah juga dengan permasalahan kadar pendapatan bulanan rakyat Malaysia yang tidak pernah setara dengan kadar perbelanjaan bulanan. Masalah ini mula disiarkan di dada akhbar New Straits Times semenjak tahun 1946. Hingga hari ini, kita masih lagi berbincang masalah yang sama.
Covid-19 akan menjadi satu cabaran terbesar buat graduan baharu dalam pasaran pekerjaan. Berdasarkan kajian dari Khazanah Research Institute (KRI), keluaran graduan warganegara Malaysia pada tahun 2018 ialah sebanyak 290,282 orang dan 17% daripadanya melanjutkan pengajian dan meningkatkan kemahiran. Selebihnya, seramai 241,000 graduan memasuki pasaran buruh. Dengan kadar purata belia yang memasuki pasaran pekerjaan sejak 2015 sebanyak 9.1%, jumlah keluaran graduan pada 2020 dianggarkan sebanyak 286,8007.
Dengan jumlah ini, ditambah pula dengan anggaran peningkatan pengangguran kepada 4.0% pada tahun ini (berbanding 3.3% pada 2019), menjadi satu cabaran besar kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan. Malah, pergerakan yang terhad sepanjang pandemik Covid-19 ini juga merupakan halangan utama mereka untuk mencari pekerjaan dan menghadiri temuduga seara fizikal.
Sangat kerap kita dengari suara dari pak Menteri serta golongan profesional menyarankan agar graduan baharu perlu jadi pencipta pekerjaan. Hal ini kerana terhadnya peluang mereka dalam menembusi pasaran kerja. Apabila belum mendapat pekerjaan, macam-macam alasan kita dengar seperti graduan tidak memiliki kemahiran berkomunikasi dengan baik, program diambil tidak menepati kehendak industri, malah pekerjaan sedia ada sudah diambil alih pekerja asing.
Penasihat Akademik, Universiti Meritus, Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali berkata, pemain industri dan juga majikan tidak sepatutnya menyalahkan institusi pengajian tinggi (IPT) gagal menyediakan graduan yang sesuai dengan kehendak industri, sedangkan, langsung tidak membuka ruang untuk graduan baharu menyesuaikan diri dalam industri.
Majikan perlu memberi ruang dan peluang kepada graduan baharu serta usah terlalu cepat menilai. Sesetangah graduan mungkin memerlukan masa setahun untuk menjadi mahir dalam bidang pekerjaannya. Tan Sri Dr Anuwar turut berkata bahawa orang industri, terutamanya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) selalu mengatakan universiti tidak sediakan graduan yang sesuai untuk kerja, konsep itu sudah tidak boleh pakai, kerana dia sebagai CEO dia juga mengambil masa yang panjang untuk pandai dan mempunyai kemahiran yang dikecapi hari ini.
Pelbagai peruntukan dan inisiatif telah diumumkan untuk mengurangkan kesan krisis Covid-19 kepada pasaran buruh. Kebanyakan inisiatif yang diumumkan adalah menyeluruh, namun manfaat kepada belia dan graduan baharu adalah minimum. Pakej Rangsangan Latihan 2020 yang diumumkan melalui Prihatin 2020 bagi menangani kesan Covid-19 kepada pasaran buruh merupakan langkah segera pihak kerajaan bagi memastikan majikan terus melabur untuk meningkatkan produktiviti modal insan. Melalui pakej ini, sebanyak RM100 juta diperuntukkan dalam bentuk geran sepadan untuk melatih sekurang-kurangnya 40,000 pekerja di sektor yang berpotensi melalui pensijilan professional (professional certification courses) dan kursus berkaitan industri (industry-driven courses).
Bagaimanapun, pakej ini hanya merangkumi semua pekerja sedia yang sedang bekerja di syarikat-syarikat berdaftar dengan HRDF dan tanpa mengira umur. Manfaatnya mungkin minimum kepada golongan belia, malah tidak merangkumi graduan baharu.
Kekurangan peluang pekerjaan tidak semestinya mengehadkan peluang menimba pengalaman untuk meningkatkan kemahiran. Dasar kerajaan perlu berpandangan positif. Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan Program Skim Perantisan Nasional (SPN) merupakan satu gerakan positif dalam usaha membantu graduan menganggur ini. Program SPN merupakan program tawaran baharu Kolaborasi Rentas Kementerian bagi memberi pengalaman bekerja melalui jaminan pekerjaan oleh syarikat/organisasi yang terlibat dan membantu melonjakkan kebolehpasaran belia pasca Covid-19.
Usaha yang turut akan digerakkan bersama Majlis Belia Malaysia (MBM), agensi dan beberapa NGO Belia lain wajar direbut oleh belia yang terjejas. Di Amerika Syarikat, terdapat lebih 1 juta hingga 2 juta perantis (intern) setiap tahun. Sementara di United Kingdom, terdapat lebih 100,000 graduan yang berada dalam pelbagai jenis program latihan perantisan.
Bertarikh : 7 Disember 2020