Kuantan, 28 Februari 2012 – Kebanyakan belia terutamanya di IPT masih lagi tercari-cari platform yang sesuai untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat kerana mereka tidak didedahkan dengan aktiviti-aktiviti anjuran pertubuhan belia. Sebahagian daripada mereka juga langsung tidak mengetahui wujudnya pertubuhan-pertubuhan belia di luar kampus mereka. Adalah menjadi tanggungjawab pertubuhan belia untuk mendekati golongan ini dalam aktiviti kemasyarakatan dan mendidik mereka dengan erti semangat kesukarelaan seterusnya menanam perasaan cinta sayang kepada negara.
Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah mengambil inisiatif untuk mendedahkan mahasiswa dengan program kesukarelaan dengan mengadakan Majlis Dialog bersama MBM bertemakan Pemerkasaan Belia dan Kesukarelaan Pemangkin Jaringan Kerjasama. Program ini telah dihadiri lebih 400 orang mahasiswa UMP di Dewan Serbaguna UMP, Kampus Induk UMP, Gambang, Pahang. Majlis yang diadakan secara santai ini menyaksikan Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee sebagai ahli panel pertama dan Tokoh Belia Negara 2011, Rizan Hasan sebagai ahli panel kedua. Presiden MBM dalam sesi dialog ini turut memberi penerangan mengenai aktiviti-aktiviti MBM serta menjawab beberapa soalan dari hadirin mengenai sumbangan pertubuhan belia kepada masyarakat, agama dan negara. Manakala Tokoh belia Negara 2011 turut berkongsi pengalaman beliau sepanjang penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan samada di penringkat nasional serta antarabangsa.
Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim, Exco MBM Ahmad Daniar Ismail, Khairul Annuar Mansur dan Mohd Faisal Abu Bakar serta beberapa Exco Majlis Belia Negeri Pahang.